Diri ku ini

My photo
Pendang, Kedah, Malaysia
Berkhidmat untuk semua kerana Allah, Kedah sejahtera, nikmat untuk semua. PAS for All. Malaysia kaya, kenapa rakyat miskin. email: pendang@parlimen.gov.my

Thursday, November 5, 2009

Teks ucapan yang tak kesampaian.

Dalam parlimen ni memang berebut nak berbahas. Kalau dalam perbahsan bajet dan titah ucapan YDP Agong, diperingkat dasar apa yany nak dibahaskan apa saja pun boleh , tetapi oleh kerana ramai yang berhasrat nak berbahas dan ramai yang bangun nak berucap, maka berebut sakan untuk mendapat peluang berbahas. Daripada tiada had masa berucap sampailah kepada hanya tinggal 8 minit seorang untuk berbahas, punyalah lenguh bangun duduk untuk mendapat peluang, at last dapat juga tadi sebelum masa berbahas tamat. Ana dah sediakan 13 muka surat teks ucapan, tetapi apa yang dapat hanya 8 minit masa berbahas , itupun selepas kekawan yang lain diberi peluang untuk berbahas dulu kerana kata speaker beri kepada kawan yang belum berucap peluang untuk mereka berbahas dulu.
Tak boleh nak lepaskan ucapan dalam dewan, maka ana turunkan teks ucapan tu disini dan bila dah keluar hansard parlimen, bolehlah masukkan apa yang ana cakap dalam perbahasan tu.

1. terima kasih tydp.
2. Bajet sulung PM yang dibentangkan diakhir RM 9 dan sebagai pembuka tirai RM 10 , berhasrat untuk membawa Negara dan rakyat menuju kepada ekonomi berpendapatan tinggi melalui pembangunan holistic dan mapan dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat , nampaknya begitu ideal untuk dilaksanakan tetapi berdasarkan kepada sejarah dan pengalaman yang lalu, melalui rekod dan laporan ketua audit Negara, nampaknya agak sukar untuk direalisasikan.
3. Antara pengharapan daripada rakyat adalah apa yang dilakarkan diatas kertas akan sampai kepada rakyat dibawah tanpa ada ketirisan dan unsur diskriminasi kepada rakyat saperti tahun-tahun sebelum ini.
4. Namun kini rakyat tidak lagi terkejut dengan apa yang dilaporkan oleh ketua audit Negara kerana buat kesekian kalinya bahkan ia berlaku saban tahun seolah-olah sengaja dibiarkan berulang-ulang , saperti laporan berhubung hospital yang dibuat tetapi faedahnya tidak dapat digunakan oleh orang awam, saperti hospital di Pekan, Pahang , duit telah dibayar , surat layak menduduki sudah dikeluarkan sebelum hospital siap dibina , segala kerosakan terpaksa dibaiki dengan menggunakan dana yang bertambah daripada kos asal , begitu juga dengan pembelian yang melebihi harga pasaran dan berbagai lagi salah tadbir dan salah urus yag sudah pasti akan membengkakkan lagi kos yang dirancang saperti apa yang dilapor oleh the Star pada 26 Oktober 2009 “ government losses can reach RM 28 billion a year or more due to over payment”. Angka itu timbul kalau anggaran lebih bayar pada sesuatu kontrak itu hanya 20 %.
5. Masih terngiang ditelinga kita bahawa ada stadium yang baru setahun digunakan sudah runtuh, bumbung masjid boleh runtuh, makmal computer runtuh , cuma kita masih bernasib baik kerana kejadian berlaku ketika tidak ada manusia menggunakan premis tersebut, kalau tidak apakah ini akan dapat menandingi kesan gempa di Padang Pariaman, Indonesia, September lepas?
6. Kes jembatan gantung di Kampar yang meragut 3 nyawa hendaknya dapat mencelikkan mata dan hati semua pihak agar perkara yang sama tidak berulang, ini bukan bencana alam, tetapi bencana dari kerakusan tangan manusia. Bayangkan baru saja siap boleh terbongkas tiang, buat macam mana ? tak ada kajian, tak ada pemantau? PPD tak tahu, JKR tak dirunding, mana pakar rujuk dan mana konsultan, katanya dibuat hasil sumbangan, tetapi kenapa sampai PPD dan sekolah pun tak ambil kisah pasal keteguhan dan keselamatan untuk digunakan untuk program 1 Malaysia?.Nak menandingi program PLKN ke?.
7. Kenapakah ini terjadi dan siapakah yang perlu dipersalahkan, kemanakah agensi pemantau dan agensi penguatkuasa?. Memang tidak dinafikan berbagai agensi diwujudkan dan beranika nama penguatkuasa ditubuhkan yang memakan kos yang bukan sedikit, tetapi saban tahun inilah laporan yang kita terima, tidak ada perubahan dan tidak terdengar pembetulan. Baru tahun ini nak tubuhkan jawatankuasa siasatan, tapi bak pencuri menyiasat pencuri. Bos siasat anak buah, anak buah nak siasat bos. Sampai kemana hasilnya kita tunggulah laporan ketua audit tahun depan , bagaimana pula jadi agaknya. Kalau tahun lepas kita didendangkan dengan kos satu skru driver beratus ringgit, maka tahun ini satu lap top sampai puluhan ribu ringgit, berpuluh kali bahkan beratus kali ganda melebihi kos pasaran biasa, jadi duit manakah yang akan cukup kalau begini cara kita berbelanja. Sampai bilakah pembaziran begitu akan terus terjadi.
TYDP.
8. Saya ingin sekali lagi bersama teman yang lain bertanya, bagaimana dengan siasatan terhadap stadium runtuh, hospital QEH yang retak sampai terpaksa pindah randah pesakit dari wad kecemasan hingga ke wad diraja dan menanti untuk dirobohkan, makmal computer sekolah yang terpaksa dibaiki bumbung selepas mengalami keruntuhan . Siapakah yang akan dipersalahkan nanti atas semua kemusnahan tersebut yang sudah pasti ada punca dan sebabnya, atau apakah mereka ini akan dibersihkan sebersih kain putih saperti yang pernah berlaku dalam sejarah Negara kita dulu, kereta kena tahan, masuk lokap, tuan punya kereta terlepas. !.
9. MPPP.
Baru-baru ini, menteri Pertanian menyatakan bahawa rakyat miskin dan miskin tegar akan diberi beras percuma ( program SUBUR) melalui kupon yang akan dikeluarkan dan pilihan dibuat melalui Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen. Rakyat boleh mendaftar di agensi dibawah kementerian pertanian agro bank, LPP, TEKUN, JKM, MADA, KADA dan lain-lain, seterusnya akan dipilih oleh MPPP ini, yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen BN. Saya sangsi setakat mana ketelusan kaedah ini kerana kami dipinggirkan dalam perkara ini dan kata menteri ahli parlimen akan dipersalahkan kalau ada yang tak dapat. Dimanakah peranan pegawai kerajaan didalam mendapatkan data ini, apakah pihak Menteri sudah tidak percaya lagi kepada segala kerja buat yang selama ini dilaksanakan dengan jayanya oleh pegawai kerajaan?.
TYDP
10. Saya ingin menyentuh berhubung dengan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada rakyat. Saya mendapat berita daripada kenalan di Kuala Krai Kelantan, menyatakan mereka tidak mendapat bekalan ubat di Hosptal Kuala Krai, bahkan Jururawat mengarahkan mereka membeli ubat di Farmasi atau kedai ubat, apakah ini balasan terhadap kekalahan di Manik Urai atau kerana bekalan tak mencukupi atau pesakit terlalu ramai sehingga stok kehabisan? Ini juga pernah berlaku ditempat saya PK Pendang, dimana ubat Depo provera kehabisan dan jururawat mengarahkan pesakit mendapatkan rawatan dari klinik saya walaupun ubat ini hanya diperlukan 3 bulan sekali. Kalau begini situasi yang berlaku, bagaimana dikatakan rakyat didahulukan.

TYDP
11. Saya mengalu-alukan hasrat kerajaan hendak menubuhkan klinik 1Malaysia dibandar saperti klinik desa diluar Bandar yang dikendalikan oleh Pegawai Pembantu Perubatan, yang akan dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam , tetapi hanya untuk demam, batuk dan selsema dan seangkatan dengannya. Maknanya klinik panadol dan breacol sajalah. Saya rasa hasrat baik, tetapi awlawiyatnya tak kena sasaran.

12. Kita tahu dibandar merupakan tempat segala kegiatan perniagaan termasukkah klinik swasta dan farmasi, kalaulah ini saja hasrat agar mereka boleh mendapat rawatan penyakit ringan ini, maka lebih baiklah mereka beli breacol dan panadol ini difarmasi sahaja . Saya rasa faedahnya lebih besar kalau wang RM 50 juta ini diberikan kepada usaha menaikkan taraf klinik diluar bandar yang sangat daif baik dari segi infranya, staffnya bahkan kenderaannya juga sering menghadapi masalah serta menambahkan kakitangan terutama pembantu perubatan. Sering kali alasan yang diberikan staff keluar. hantar kes, staf keluar tengok kes dan bermacam lagi. Bayangkan dengan peruntukan lebih kurang 20 ribu sebulan bagi satu klinik didalam bandar ini, apakah bentuk khidmat yang dapat diberikan nanti. Nak beri elaun lebih masa pun mungkin tak cukup ditambah dengan sewa premis dan kos ubat. Keluhan dari YB Lubuk Antu semalam jelas mengesahkan hal ini.
13. Saya rasa kalau didalam bandar, lebih baik KK memperbaiki kaedah menghadapi wabak demam denggi yang masih lagi menjadi masalah yang tak dapat dikawal sepenuhnya. Daripada laporan Ketua Audit Negara , KK masih belum berjaya mengawal kadar kejadian demam denggi dan kadar kematian akibat penyakit tersebut. Daripada rekod KK sebanyak 37,195 kes penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah dengan 81 kematian pada 2008 berbanding 38,556 dan 92 kematian pada 2006 dan walaupun ada penurunan sedikit pada tahun 2009 menjadi 33,684 kes dengan 73 kematian setakat minggu 42/2009.
TYDP
14. Ketidak cekapan didalam mengendalikan usaha pencegahan dan pemantauan premis yang tidak dibuat mengikut sasaran, lawatan susulan tidak dilakukan, indek pengesanan vector tidak digunakan sepenuhnya, kelewatan notifikasi dan ujian darah tidak dilakukan dengan sempurna , antara sebab yang diberikan adalah kekurangan guna tenaga. Tak cukup staff.
15. Apa yang menarik dari laporan Ketua audit ini, negeri yang mempunyai kemudahan yang cukup dan canggih merupakan peratusan tinggi yang lewat melapor kes denggi dalam masa kurang 24 jam saperti WP KL 44.3 %, WP Putrajaya 15.5 %, Klang 19.5 % , Seberang Perai Utara 11.4 %.
16. Keberkesanan pencegahan denggi tidak dapat dicapai kerana usaha penyemburan kabus tidak dilakukan berdasarkan kepada piawaian didalam kawalan penyakit berjangkit KKM iaitu indek aedes melebihi 1 % dan indeks Breteau melebihi 5 %, tetapi tidak dilaksanakan kerana kekurangan kakitangan , tetapi usaha hanya dilakukan apabila ada kes penyakit demam denggi berlaku.
17. Demam denggi biasanya berlaku dibandar, jadi dengan kerencatan usaha pencegahan dek kerana kekurangan kakitangan, rasanya lebih elok kalau mereka yang nak ditempatkan kedalam klinik 1 Malaysia ini diserapkan keunit untuk pencegahan denggi ini.

TYDP.
18. Saperti dinyatakan didalam bajet 2010, sejumlah RM 14.8 billion diperuntukan kepada KK termasuk pembinaan hospital baru dan menaik taraf hospital yang sedia ada, disini saya buat kesekian kalinya ingin bertanya bilakah agaknya janji bekas PM dalam ucapan belanjawan beliau semasa menang besar selepas PRU 2004 dulu akan ditunaikan, iaitu hospital Pendang.?

TYDP
19. Trend penyakit sekarang pun sudah berubah sesuai dengan perubahan taraf dan corak kehidupan manusia dizaman serba canggih dan moden ini, penyakit melibatkan jantung , buah pinggang dan barah , ini telah mengubah scenario perbincangan dalam bidang perubatan. Gambaran yang saya perolehi daripada rakan perubatan bahawa unit yang bakal mengendalikan kes-kes terlibat masih lagi berkurangan berbanding dengan permintaan daripada rakyat yang sakit, maka senarai yang panjang sedang menanti di pusat jantung Negara (IJN) . Diharap pusat rawatan jantung di Terengganu dan Kuantan yang bakal beroperasi dapat menampung permintaan di pantai timur , tetapi bagaimana dengan di Utara semenanjong yang dikendalikan oleh Hospital Pulau Pinang yang juga mempunyai Q yang panjang dari sebelah utara sana, harap diberikan perhatian segera.
20. Saya amat sedih dan terharu bila mendapat berita mengenai keretakaan hospital QEH tahun lepas, saya telah membawa usul dibawah 18 (1), tetapi ditolak , kita amat bimbang kerana puncanya adalah kecuaian didalam pembinaan , iaitu menggunakan pasir laut didalam membancuh konkrit sehingga menyebabkan besi berkarat dan melemahkan struktur bangunan sehingga terpaksa ditinggalkan dan bakal dirobohkan, untuk mengganti itu, KKM terpaksa menyewa dan membeli SMC dan menggunakan kemudahan Angio lab di SMC yang dikendalikan oleh kakitangan IJN dari Kuala Lumpur secara berkala, saya ingin bertanya berapakah perbelanjaan yang terpaksa dibuat untuk satu team kakitangan IJN ketika mereka bertugas di SMC yang diambilalih oleh QEH ini untuk satu-satu masa?. Harapan agar ada kakitangan QEH yang mendapat latihan dari IJN ini dapat meneruskan usaha menjadikan pusat jantung di Sabah nanti akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Persoalannya apakah tidak ada tindakan yang dikenakan kerajaan kepada syarikat yang membina QEH yang retak dan bakal dirobohkan tersebut?.

21. Pusat rawatan barah yang ada di Hospital Kuala Lumpur , di Institut Radiothepapy, Onkology dan Perubatan Nuklear memang sudah tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada pesakit barah diseluruh Negara dimana dianggarkan seramai 78300 pesakit barah akan dirawat pada tahun 2009 dan 82000 pada tahun 2010 meningkat daripada jumlah 74421 pada tahun 2008. Saya ingin mendapat penjelasan daripada KK apakah benar pusat rawatan barah DS Hindon di Putrajaya terbantut binaannya?. Jika ya, apakah puncanya?. Bagaimana dengan masyarakat diutara, apakah hanya hendak mengharapkan Hospital Mount Marian yang terpaksa berbelanja besar untuk merawat pesakit dari utara sana dan bilakah ianya hendak ditambah ?.
22. Saya menyanjung tinggi hasrat kerajaan untuk memberikan imunisasi vaccine HPV ( human papilloma virus) kepada remaja perempuan berusia 12 tahun keatas untuk mencegah canser cervix kerana ia dikatakan dapat mencegah 70 % masalah ca cervix dan 90 % genital wart, tetapi apakah rational cervarix yang dipilih padahal ia didapati masih belum diluluskan oleh US FDA dan didapati memberikan kesan sampingan yang agak serius saperti hyperactive, dyslexia dan autism. Cervarix dikatakan cuma dapat melindungi 2 jenis virus HPV iatu type 16 dan 18 yang menyebabkan Ca cervix dan tidak type 6 dan 11 yang menyebabkan genital wart, padahal Gardasil dapat melindungi kesemua 4 type HPV ini, iaitu 6, 11. 16 dan 18. Apakah rational kepada pemilihan Cervarix keluaran GlaxoSmithKline ini, kerana kerajaan akan membelanjakan RM 150 juta untuk tujuan ini. Di UK untuk keseluruhan imunisasi sebanyak 3 dose ini adalah berharga 350 paun.
TYDP

TYDP.
23. Antara masalah kesihatan lain yang saya sentuh tadi adalah penyakit buah pinggang kronik, ‘end stage chronic renal failure ‘yang telah menjadi satu fenomena biasa sekarang ini dimana rawatan yang agak membebankan pesakit , mereka perlu menghadapi rawatan hemodialysis. Bayangkan mereka terpaksa membayar antara RM150 ringgit sekali rawatan dan satu untuk 3 kali dialysis dalam seminggu. Kita tidak menafikan banyak pusat dialysis swasta tumbuh dimerata tempat, tetapi masalahnya kos yang terpaksa dibayar dan karenah birokrasi untuk mendapat pertolongan dari tabung kebajikan perubatan serta peluang yang tipis untuk menjalani rawatan di hospital kerajaan. Saya berharap agar tabung kebajikan perubatan ini dipermudahkan untuk memberi bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Saya mempunyai pengalaman yang perit dalam hal ‘tabung kebajikan perubatan’ ini ketika membantu seorang pesara polis mendapat bantuan untuk membeli prosthesis untuk tulang peha yang patah. Permohonan beliau ditolak kesana sini macam bola yang menyusahkan pesakit yang memerlukan rawatan, mengeluh dalam kesakitan, apakah salahnya sehingga seolah-olah khidmat keselamatan yang diberikan kepada Negara selama ini tidak pernah dinilai untuk diberi sedikit bantuan. Akhirnya wakil rakyat terpaksa bagi duit.

TYDP
24. Ketua pembangkang didalam ucapan beliau ada menyentuh tentang jenayah indeks yang meningkat sebagai respon kepada jawapan terhadap soalan saya untuk jawapan lisan. Dalam jawapan untuk soalan Kepong pada 27 Oktober 2009 juga dinyatakan kadar jenayah tahun 2007 meningkat sebanyak 6.5 % berbanding 2006 daripada 196780 kepada 209559, dan meningkat kepada 211,645 pada 2008 . Sehingga bulan September 2009 jenayah yang dicatatkan adalah 139,472 kes. Apa yang ingin saya bangkitkan adalah berhubung dengan balai polis Pendang yang dijanjikan semasa PRK Pendang 2002 dulu, yang sudah ditukar kontraktor sudah beberapa kali dan dilihat sendiri oleh Menteri Dalam Negeri yang lepas dan dijanjikan akan diteruskan tahun 2009 ini, tetapi masih belum lagi nampak ada tanda-tanda nak disambung, tinggallah 27% saperti dulu dan kini, harap tidak selamanya.
25. Bagaimana kita ingin mendapat anggota polis yang cekap kalau mereka terpaksa berhimpit didalam balai yang sempit , bahkan di Bukit Jenun, mereka bertugas didalam kontena padahal ada banyak rumah kedai yang baru siap, tetapi tak sanggup digunakan kerana alasan terpaksa bayar sewa. Begitu juga dengan kuaters yang terpaksa mereka sewa didalam kampong atau taman kerana ketidak cukupan i kuaters, jadi bagaimana nak bekerja mencegah jenayah dengan selesa kalau begini keadaan hidup mereka.

TYDP
26. PM ada menyentuh mengenai koridor pembangunan yang telah dilakarkan oleh PM terdahulu. Di Kedah kita ada NCIA untuk melaksanakan tugas melakukan pembangunan di NCER ini, terutama dikawasan MADA, Cuma apa yang agak mengecewakan petani, seolah-oleh mereka ini ditugaskan untuk menghabiskan peruntukan kewangan sahaja dimana setiap jalan ban sungai walaupun tidak banyak digunakan, tetap diturap padahal jalan yang mempunyai ramai penduduk dan sering digunakan dibiarkan , sepatutnya taliair ‘sekunder’ atau ‘ tertier’ diberi keutamaan untuk menjadikan saliran air lebih efektif, tetapi ini tidak diberikan keutamaan, sehingga musim kemarau akan datang mungkin akan memberi masalah kepada petani di setengah kawasan MADA nanti. Kita perlu ingat Kedah membekalkan 30 % keperluan beras Negara.
TYDP
27. Kouta pembelian padi oleh pengilang. Pesawah bantah penetapan pembelian padi mengikut kouta oleh pengilang dan minta dihapuskan segera kerana ini akan membebankan dan menjadikan petani sukar untuk menjual padi kekilang dimasa musim padi masak , jika dibeli pun mereka akan meletakkan harga rendah. Bahkan RM 1000 setan pun tak mahu dibeli. Dengan kos tersebut mungkin sukar mereka mengerjakan sawak kerana kos input pertanian agak tinggi sekarang.
28. Yuran sekolah, guru mengeluh kerana tahun lepas yuran dihapuskan tetapi tidak menyeluruh, penerangan kurang jelas, ada yang mansuh, ada yang tidak, ibu bapa tak bayar, jadi bila sampai bulan 6 atau 7, suruh kutip, ibu bapa tak mahu beri, banyak tertunggak.
29. Kenderaan lama, kereta melebihi 15 tahun nak perbaharui cukai jalan kena diperiksa di Puspakom, antara alasan yang diberikan adalah kerana sering berlaku kemalangan dan supaya kenderaan dalam keadaan baik ‘tip top’ . Apakah yang terlibat kemalangan itu kenderaan lama, berapa peratus keseraan melebihi 10 tahun, 15 tahun, harap dapat beri statistic. Kalau lori dan bas, boleh jadi, kenderaan persendirian minta statistic daripada Menteri. Kalaulah kereta lama ini masuk Puspakom, apakah lepas keluar ia akan jadi mesra alam, jadi tip top dan boleh baik segera, dan kalau tak lulus, berapa pula kos yang pemilik kena nanti bila mengunjungi wokshop. Ini semua kerja nak kayakan Puspakom yang baru dapat sambungan kontrak 15 tahun. Tujuan pemeriksaan kenderaan persendirian masa kini adalah untuk pindah milik dan secara sukarela. Sukarela RM 50.00 dan pindah milik RM 30.00. Pengalaman pahit menghantar kereta ke Puspakom ini ramai orang yang dah tahu dan dah kena, tak perlu saya ulas. Hantar elok balik mai kemek sana lekang sini.
30. PM dulu hapus road tax motosikal tinggal RM 2, tapi bila nak renew, kena insuran tinggi, motosikal lebih 10 tahun Langsung tak terima, kereta lebih 10 tahun, berkali ganda. Tahun sudah motosikal, insuran 45 ringgit, tahun ni, 90 ringgit.
31. Kapsul gelatin dari babi. Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.
Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman (foto, kanan) berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

32. Hotlink tawar BMW untuk SMS
KALAU kita masih ingin kekecohan timbul apabila syarikat Celcom menawarkan sebuah kereta mewah Toyota Camry setiap hari kepada pelanggannya dengan menjawab soalan SMS terbanyak. Akhirnya, pihak berkuasa agama termasuk mufti memutuskan ada unsur perjudian kerana pelanggan terpaksa membayar RM2 bagi setiap SMS yang membawa kepada peraduan itu dibatalkan. Pihak Celcom turut memulangkan wang pelanggan yang menyertai peraduan itu.

Sekarang saya dapati Maxis Hotlink pula menawarkan sebuah kereta BMW dan iPod dengan konsep sama dengan caj RM2.15 setiap SMS untuk menjawab setiap soalan. Mengapa peraduan ini tidak diharamkan pihak berkuasa Islam sedangkan peraduan ini jelas berunsur perjudian.

Tapi amat malang apa yang disediakan tak dapat disampaikan kerana kesuntukan masa dan insyaallah akan diteruskan didalam peringkat jawatankuasa untuk setiap kementerian nanti.

No comments:

Lawat Parlimen

Lawat Parlimen
ADUN Kedah diketuai Speaker dan Timbalan telah datang mengunjungi Parlimen baru-baru ni untuk menyaksikan hari ini dalam sejarah bekas mangsa kezaliman ISA dua kali YB Sdr Yusof Husin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. Kami hanya sempat berbicara seketika waktu rehat dan selepas itu mereka mempunyai agenda lain untuk dibereskan. Diharap dimasa akan datang kita akan dapat melakukan yang lebih baik lagi apabila kehadiran direncanakan dengan teliti melalui Setiausaha Sekretariat parlimen PAS Sdr Wan Johari Wan Omar.