Diri ku ini

My photo
Pendang, Kedah, Malaysia
Berkhidmat untuk semua kerana Allah, Kedah sejahtera, nikmat untuk semua. PAS for All. Malaysia kaya, kenapa rakyat miskin. email: pendang@parlimen.gov.my

Tuesday, July 8, 2008

Teks cadangan bahas mid term review RM 9.

Frust ana satu hari kelmarin dari pagi sampai malam tunggu nak bahas, dari masa 20 minit sampai speaker had kepada 10 minit pun tak dapat nak berbahas mengenai mid term review RM 9, tunggu sampai 9 malam tadi pun, masih berlambak yang bangun nak bahas, semua orang baru belaka, jadi ana turunkan sini sikit tek ucapan ana tu buat ingatan ana sendiri dan kalau relevan dalam perbahasan bajet nanti boleh bawa lagi, insyaallah.
Perbahasan midterm review RM 9.
TYDP
Terima kasih TYDP yang telah memberikan saya peluang untuk sama-sama berbahas mengenai kajian separuh penggal RM 9 ini. Memang kalau melihat kepada angka statistic dan garf yang digambarkan, semuanya Nampak baik dan menyenangkan. Tetapi reality didalam masyarakat, suasana ekonomi Negara dan dunia mutakhir ini cukup menyenakkan. Memang tak dapat dinafikan bahawa kos hidup akan terus meningkat lebih-lebih lagi setelah harga minyak naik selepas pengstrukturan semula subsidi minyak. Rakyat arif akan situasi global ini, tetapi rakyat ingin tahu pula dimana kebijaksanaan pemimpin didalam menghadapi situasi genting ini, adakah menghala kepada kesenangan rakyat atau menimbulkan keperitan kepada masyarakat. Kesan kenaikan minyak ini akan melibatkan kesan kenaikan harga berantai yang akan sudah pasti menyebabkan harga barang keperluan harian mencanak naik tanpa dapat dikawal lagi . Apa yang menjadi kegelisahan rakyat dan persatuan pengguna adalah kawalan harga yang dikenakan keatas barangan adalah untuk barangan asas sahaja, kalau ia diperkaya atau ditambah nilai, ia tidak lagi dikawal harga, saperti tepong , susah nak cari tepong asas sekarang ini, semuanya yang diperkaya ( enriched), atau jenis tepong naik sendiri untuk buat kuih tidak dikawal harga, maka pasti kenaikan harga sudah tidak terkawal lagi. Akhirnya rakyat ramai yang teraniaya dengan mainan dari pengusaha dan tiada kemampuan penguatkuasa kementerian ini, kerana barangan ditambah nilai ini tidak dikawal harganya.
KPDNHEP sering mengiklankan supaya pengguna membandingkan harga sebelum membeli ‘pengguna bijak, faedahnya banyak’, tetapi sedarkah kita bahawa pengilang telah mengelirukan pengguna dengan kaedah pembungkusan atau packaging . Sesuatu barang yang dijual dikedai selalunya tak sama dari segi sukatan, timbangan atau isipadu antara satu syarikat dengan syarikat yang lain, misalnya syarikat A, susu pekatnya berisipadu 285 ml padu, syarikat B beisipadu 250 ml padu dan syarikat C mungkin isipadunya 300 ml padu, minuman dalam tin misalnya satu syarikat 300 ml, satu syarikat lagi 325 ml, takkanlah setiap kali nak beli kita kena bawa kalkulator untuk membahagi kos setiap ml barang yang hendak dibeli. Sudah tentu bila ukuran berlainan, isipadu berbeza, pasti harga pun akan berlainan . Apa yang perlu dibuat adalah selaraskan semua ukuran, timbangan atau sukatan agar perbandingan harga senang dibuat kalau pun kita nak beli berdasarkan perbandingan antara satu produk dengan produk yang lain.
TYDP
Pada ketika kenaikan harga minyak 30 sen seliter dulu, kerajaan berjanji ianya akan digunakan untuk menambahbaikan sistem pengangkutan awam dari penjimatan wang rakyat sejumlah RM 4.4 billion, tetapi apa yang rakyat dapat lihat dan alami adalah sistem pengangkutan awam kita masih lagi berada ditakuk lama , tiada perubahan ketara hasil dari 4.4 billion tersebut. Rakyat cuma dapat lihat 1000 bas rapid KL tersadai menjadi besi buruk dan syarikat yang mendapat durian runtuh membina badan bas tetapi tidak dapat melunasi misi tersebut lalu terpaksa import bas terus dari China , mulanya Mtrans dan kemudiannya Scomi engineering.
Sekarang hasil kenaikan 70 sen untuk petrol dan 1.00 untuk disel bagi harga minyak, penjimatan dijangka sebanyak RM 13.7 billion, sudah tentu kali ini rakyat sekali lagi ingin bertanya kemana pula ianya akan disalurkan dan siapa pula yang akan mendapat durian runtuh kali ini?. Pohon penjelasan dari Kementerian Kewangan!.
TYDP
Sistem pengangkutan awam sepatutnya sudah dapat dimodenkan dan memudahkan rakyat pergi dan balik kerja. Untuk memudahkan pengendalian trafik yang memeningkan kepala semua pihak dibandar-bandar besar, saya rasa satu contoh sebagaimana yang dibuat di Boston perlu diambil panduan, iaitu memberikan pengangkutan awam percuma kepada orang ramai dalam Bandar besar , dan dalam masa yang sama mencegah kereta-kereta persendirian memasuki pusat Bandar dengan syarat khidmat pengangkutan awam yang diberikan mestilah cukup baik dan mudah dicapai . Masa bertolak dan sampai yang tepat, jalinan rangkaian jalan yang mudah dicapai, jadual perjalanan yang optima. Kalau kereta persendirian ini hendak masuk juga mestilah dikenakan apa juga bentuk sekatan saperti cukai masuk Bandar atau panelti tertentu. Ini sudah pasti akan mengurangkan kesesakan trafik dalam Bandar dan mengurangkan pencemaran gas rumah hijau, dan mengurangkan penggunaan minyak yang semakin mahal ini. Bagaimana pula komitment kerajaan dalam usaha memajukan program ‘hydrofuel’ terutama oleh syarikat kereta nasional proton dan perodua, kerana mengikut maklumat yang disiarkan oleh TV3 dua hari lepas, kos yang dianggarkan perlu dalam pertukaran kepada system ini lebih kurang RM 2000.00. Kalau pertukaran untuk NGV lebih kurang RM 3000.00. Saya harap syarikat kereta nasional kita dapat memajukan system hydrofuel ini kedalam kenderaan kita.
Kerajaan ambil alih PLUS . sekarangpun kerajaan pegang saham 70 % saham ini melalui KWSP dan khazanah, Cuma beli saja lagi 1.3 juta saham bernilai 13.6 billion ringgit dan terus hapuskan tol.

TYDP.
Mulai 1 July 2008 , satu lagi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat selepas penstrukturan semula subsidi minyak baru-baru ini, penduduk di Semenanjung terpaksa meningkatkan lagi langkah berjimat-cermat apabila kadar baru tarif elektrik mula dikuatkuasakan. Tak tahu lah kita bagaimanakah lagi nak berjimat dalam suasana sekarang ini, ramai penghuni kota yang tergolong dalam kategori sederhana menjadi miskin, miskin menjadi miskin tegar, mereka ini terpaksa membuat 2 kerja dalam sehari untuk menampong kos hidup yang naik sejak kenaikan harga bahan api ini, siang kerja lain dan malam pula terpaksa kerja lain pula.

Selepas kenaikan tarif elektrik terakhir dua tahun lalu, kerajaan seolah-olah dipaksa menyemak semula tarif elektrik bagi menampung sebahagian daripada kesan kenaikan gas dan arang batu yang menjadi bahan api utama bagi penjanaan elektrik di negara ini.

TYDP
Walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) menetapkan pengguna domestik masih layak menikmati kadar tarif sedia ada (21.8 sen/kWj) sekiranya penggunaan bulanan mereka berada bawah 200 kilowatt jam (kWj).

Namun, bagi penggunaan berikutnya iaitu antara 201 kWj hingga 400 kWj pula, pengguna perlu membayar kadar 34.5 sen seunit dan perubahan harga akan berlaku bagi setiap 100 kWj berikutnya iaitu 30 sen (401-500 kWj), 39 sen (501-600 kWj), 40 sen (601-700 kWj), 41 sen (701-800 kWj) dan 43 sen (801-900 kWj). Pengguna domestik akan membayar maksimum 46 sen bagi setiap kWj untuk penggunaan melebihi 901 kWj.

Namun mengikut Prof Madya Dr Mohd Wazir Mustafa Ketua Jabatan Kuasa Fakulti Kejuruteraan Letrik UTM, majoriti pengguna akan terbabit dengan kenaikan tarif ini. Menurut beliau 50 % daripada pengguna dirumah kediaman menggunakan elektrik melebihi 200 kWj sebulan.

"Kebanyakan rakyat tinggal di rumah teres yang kurang tingkap, memerlukan lampu pada waktu siang dan memasang kipas 24 jam, itu tidak termasuk televisyen dan peti sejuk yang sentiasa dipasang. Kalau waktu siang tiada penghuni, mungkin penggunaan elektrik di rumah berkenaan tidak akan mencecah 200 kWj sebulan, tetapi kalau dihuni disiang hari, ia sudah tentu melebihi jumlah tersebut." katanya.

Oleh itu saya berharap pihak kementerian tenaga air dan komunikasi dengan kerjasama kementerian penerangan menerbitkan satu siri pendidikan kepenggunaan kepada rakyat cara-cara bagaimana penjimatan tenaga letrik dapat dibuat ekoran kenaikan tariff letrik ini.
Terangkan bagaimanakah cara penjimatan letrik dapat dilakukan ketika kita menggunakan seterika, air cond, lampu dan sebagainya agar jumlah kW/j itu tidak membebankan pengguna. Begitu juga dengan tempoh bacaan meter letrik itu biarlah pada masa yang tetap iaitu setiap bulan kerana pada blok kedua dan ketiga sudah tentu tarifnya semakin tinggi dan pengguna akan terpaksa membayar lebih hanya kerana masa bacaan meter dilanjutkan.
Cadangan TNB untuk menaikkan imbuhan CEO mereka sebanyak 100 % baru-baru ini adalah merupakan satu tindakan yang tidak berhati perut, menghiris perasaan rakyat dalam suasana terpaksa membayar tariff yang lebih tinggi, nasib baik ianya ditolak .
TYDP,
Dalam keadaan dunia menghadapi krisis tenaga fossil ini, kepada kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, saya menyeru agar melaksanakan satu kaedah pelupusan sisa pepejal dengan menggunakan teknik yang semakin mendapat tempat dimata dunia sekarang ini, mula diperkenalkan pada tahun 1989, dinamakan Plasma Gasificatian dimana kaedah ini akan menghasilkan antara 8 hingga 10 kali ganda tenaga setiap yunit sisa pepejal yang dilupus berbanding tenaga yang diperlukan untuk memusnahkan sisa pepejal tersebut.
Kaedah ini sudah pun mula digunakan oleh Negara maju dan membangun saperti Jepun, Amerika, India dan Turki.
Ia satu kaedah pelupusan sisa pepejal yang lebih selamat daripada incinerator . Dalam suasana kita menghadapi masalah dengan pembuangan sisa pepejal landfill yang semakin sukar mendapatkan kawasan. Dalam jawapan kementerian kepada saya hari ini sebanyak 111 tapak pelupusan sampah landfill ini sudah tamat operasi, yang tinggal hanya ada 151 itu pun dalam keadaan hampir penuh. Dan dalam suasana incinerator yang masih belum boleh dikategorikan selamat sepenuhnya, maka kaedah plasma gasification ini didapati mengatasi piawaian antarabangsa kerana hasil akhir nya adalah gas (syngas) yang boleh menghasilkan tenaga dan bahan buangan yang boleh dijadikan asas membuat jalan.
Sebanyak 500-750 tons sisa pepejal dan sampah lain dapat diproses dalam sehari oleh satu reactor. Mesra alam, menghasilkan tenaga bersih, megurangkan emisi gas rumah hijau, dan tidak memerlukan lagi ‘landfill’. 1,500 tones sampah sehari mampu menjana tenaga untuk 24,000 rumah.
Semua jenis sampah boleh dilupuskan dengan kaedah ini ,dari sampah rumah, bandaran, tayar, bahan kimia , sisa makanan bahkan bahan sewage dari longkang pun.
Diharap Kementerian memberikan perhatian kepada kaedah ini untuk masa akan datang dalam suasana kita tercari-cari teknik untuk pelupusan sampah sebagai menggantikan landfill dan incinerator. Walupun buat masa ini, mungkin harganya menjadi halangan.
TYDP
Dalam siri perjumpaan dengan mereka yang sedang menceburkan diri dalam bidang pertanian asas untuk industry makanan Negara iaitu petani , rata-rata mereka mengeluh , mereka tidak akan dapat lagi meneruskan usaha penanaman padi dalam suasana sekarang sekiranya keadaan ini berterusan jika sesuatu tidak dilakukan sesuatu terutamanya mengenai kos input pertanian yang terus mencanak naik , kos racun naik melepasi 200 %, bagaimana nak menghadapi berbagai jenis penyakit yang menimpa tanaman padi mutakhir ini, dah lah cuaca yang tidak menentu akibat pemanasan global dan gas rumah hijau, suasana sering dilanda banjir yang masih belum Nampak akan diatasi .PM telah berjanji di tempat saya peruntukan 27 juta untuk mendalamkan sungai Pendang dan pembersihan tebing, tetapi apabila saya bertanya DO, masih belum nampak ujud jumlah ringgit tersebut yang turun, hanya hujan lebat sahaja baru-baru ini yang turun. Jawapan kepada saya dalam pertanyaan berhubung NCER ada dijawab berkenaan dengan program menghadapi banjir ini, tetapi tidak pun dijelaskan bila hendak dilaksanakan. Jadi saya hendak tanya dimana janji tersebut . bila akan dimulakan.
Kebanyakan petani merasakan tidak lagi viable untuk meneruskan aktiviti pertanian dalam kos sekarang ini. Berbagai kenaikan harga telah saya sentuh dalam perbahasan saya semasa bajet tambahan mesyuarat lalu. Oleh itu mereka berharap usaha pemberian subsidi dalam industry pertanian untuk makanan ini perlu ditambah lagi bukan sekadar subsidi padi dan baja tetapi kepada racun mahluk perosak, untuk vitamin padi saya harap kerajaan kaji semula syarikat pembekal kerana yang ada sekarang tidak memberikan faedah kepada pertumbuhan pokok padi pun. Mungkin tonik padi yang tak laku dipasaran , baru nak bagi kepada petani.
TYDP
Negara-negara maju di Eropah dan Amerika pun, pemberian subsidi kepada sector pertanian dalam kadar yang agak tinggi demi untuk menjamin’ food security’ mereka.
Bercakap fasal subsidi, petani rata-rata kecewa mengenai subsidi insentif hasil padi yang diperkenalkan oleh kementerian, ia cukup lambat sampai kepada petani, ada petani yang mendapat hasil yang banyak tetapi sampai sekarang masih lagi belum menerima insentif hasil bertambah tersebut, takkanlah setiap kali hendak dapat, terpaksa mendapat desakan daripada persatuan peladang kut!. Saperti apa yang terjadi kepada subsidi bajak pada musim lepas. Selepas bajak musim kedua habis, baru subsidi ini dibayar, itu pun selepas pengusaha mesin bajak mengadakan bantahan, demo.
TYDP
Telekomunikasi merupakan kaedah perhubungan pantas yang wujud dalam Negara kita dan berkembang dengan pantas sekarang. Dari system menggunakan kabel kepada system wireless yang dikendalikan oleh berbagai syarikat telco. Akibat daripada masalah kecurian kabel yang berleluasa sekarang ini, maka ramai pengguna telah beralih kepada system selular. Dan system selular ini pula menggunakan stesyen pemancar yang mengeluarkan tahap radiasi tertentu. Garis panduan mengenai tahap radiasi yang dipancarkan oleh stesyen pemancar telekomunikasi perlu dikaji semula kerana ia sudah tidak relevan lagi sekarang ini dan perlu diturunkan. Ini kerana tahap yang ditetapkan itu masih boleh memberi kesan secara langsung dan menjejaskan kesihatan manusia. Suruhanjaya antarabangsa perlindungan radiasi bukan pengionan (ICNIRP) meletakkan tahap maksimum bacaan radiasi berada pada kadar 40 volt/meter. Tahap ini pun mengikut pakar tempatan, boleh membawa mudarat kepada sesiapa yang terdedah. Negara maju saperti USA telah merendahkan sukatan ini kepada 25 volt/meter. Bahkan ada yang menurunkan sehingga 4 v/m. Saya hendak bertanya Malaysia berada pada tahap mana?.
Oleh itu diharap kajian yang akan dijalankan oleh Prof dari UiTM mestilah diberikan galakan agar suatu tahap yang lebih selamat dicapai dalam menangani masalah yang menjadi ketakutan seluruh pengguna telefon selular sekarang ini. Iaitu bahaya kanser.
TYDP,
Walaupun kos perkhidmatan dihospital awam sekarang ini masih lagi rendah , tetapi rakyat sudah merasa keperitan walaupun dirawat dihospital awam kerana didapati kira-kira 40 % perkhidmatan ini telah diswastakan. Kalau seorang pesakit ingin mendapat rawatan yang memerlukan prosthesis , maka mereka terpaksa membeli sendiri alat tersebut . Banyak aduan yang diterima terutama daripada masyarakat luar bandar yang tidak berkemampuan mengenai situasi ini, bahkan ada yang enggan mendapatkan rawatan kalau menyentuh perkara saperti patah tulang, katarak dan lain masalah kesihatan yang memerlukan prosthesis dihospital. Bahkan ada pesakit thalasemia sekarang ini yang terpaksa mencari wang yang banyak untuk mendapat rawatan chelating agent ‘desferoxamine’ yang dulunya didapati secara percuma dihospital awam.
Walaupun pekhidmatan primer boleh dikatakan hampir menyeluruh wujud di Semenanjong , tetapi tahap keberkesanannya masih banyak yang ada cacat celanya. Sistem penyampaian masih lagi teruk. Contohnya Isnin minggu lepas, seorang pelajar dikawasan saya dipanah petir, apabila dibawa keklinik Pendang untuk dibawa dengan ambulan kehospital, didapati pemandu tiada didalam kawasan klinik. Walaupun beliau dikatakan meninggal dunia serta merta selepas dipanah petir, tetapi atas kelewatan mendapat pemandu yang sepatutnya berada didalam kawasan adalah sesuatu yang tidak dapat dimaafkan kerana mereka hendaklah sentiasa dalam keadaan standby, atau pun mesti ada pemandu ganti standby bila-bila masa. Itu belum kita bercerita lagi pasal ambulan kehabisan minyak atau habis bateri, ! Apakah sekarang ini sudah tidak ada lagi elaun untuk standby ini.
Begitu juga saya ingin tanya bila hospital Pendang yang dijanjikan dalam bajet 2 tahun lepas masih belum nampak rupa lagi. Dulu dibuat pagar tapak, sekarang habis sudah kena curi besi tiang pagar, dan kawasan itu sudah jadi hutan simpan untuk membiakkan biawak , ular dan babi hutan , dan mungkin akan didatangi harimau kalau berterusan begitu.

TYDP
Akhir sekali, Insentif untuk ahli sukan memang baik, boleh memberikan motivasi kepada mereka untuk berusaha mendapatkan pingat dalam setiap pertandingan, tetapi kalau terlalu besar saperti yang diumumkan oleh TPM untuk sukan olimpik di Beijing nanti, , saya rasa dalam suasana rakyat terpaksa mengikat perut dan kerajaan terpaksa menjimat perbelanjaan sehingga sanggup mengurangkan subsidi kepada rakyat, adalah terlalu besar dan mewah kalau 1 juta ringgit diberikan untuk pingat emas yang dipungut. Begitu juga kalau pencen seumur hidup dinaikkan kepada 5 ribu ringgit. Ini bukan memberikan insentif lagi, bahkan ia akan menjadikan seorang athlit itu tidak konsisten dalam pencapaian mereka kerana bila dah dapat pingat dan pencen, mereka akan terus merosot dalam prestasi dan akhirnya terus hilang dari persada dunia sukan. Jadi saya pohon supaya kementerian mengkaji semula kadar tersebut. Kalau Negara kita berada dalam keadaan mewah dan rakyat pun sudah senang lenang, maka ia tidak jadi halangan.
Peneroka Felda gugusan Keratong Khasnya dan peneroka di Malaysia amnya yang mengusahakan kebun sendiri tanpa menyerahkan kembali kepada pihak pengurusan Felda setelah selesai menjelaskan semua bayaran kembali(BK), tetapi Felda telah menafikan wang tabung tanam semula (TS) peneroka yang mereka telah carum selama 17-20 tahun. Dalam masa kerajaan menggalakkan peneroka berdikari tetapi apabila peneroka dengan inisiatif sendiri telah mengusahakan kebun secara sendiri. Pembelian benih sawit, baja dan pembersihan kebun memerlukan kos tinggi kesan daripada bertambahnya kos input pertanian saperti baja dan racun sehingga 150-200 %.
Begitu juga dengan masalah yang ujud didalam Risda juga sama saperti yang saya telah timbulkan sebelum ini saperti yang berlaku berhampiran Felda Sungai Tiang.
Harap kerajaan dapat member penjelasan terhadap perkara ini.
TK.

No comments:

Lawat Parlimen

Lawat Parlimen
ADUN Kedah diketuai Speaker dan Timbalan telah datang mengunjungi Parlimen baru-baru ni untuk menyaksikan hari ini dalam sejarah bekas mangsa kezaliman ISA dua kali YB Sdr Yusof Husin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. Kami hanya sempat berbicara seketika waktu rehat dan selepas itu mereka mempunyai agenda lain untuk dibereskan. Diharap dimasa akan datang kita akan dapat melakukan yang lebih baik lagi apabila kehadiran direncanakan dengan teliti melalui Setiausaha Sekretariat parlimen PAS Sdr Wan Johari Wan Omar.