Diri ku ini

My photo
Pendang, Kedah, Malaysia
Berkhidmat untuk semua kerana Allah, Kedah sejahtera, nikmat untuk semua. PAS for All. Malaysia kaya, kenapa rakyat miskin. email: pendang@parlimen.gov.my

Thursday, December 16, 2010

Bila nak bangun ni warga Felda?

ANAK tanya NAJIB - Siapa pengkhianat sebenarnya..???



PERTANYAAN UNTUK NAJIB RAZAK DARI WARGA FELDA

oleh: Mazlan Bin Aliman, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan ( ANAK)

Perdana Menteri, Najib Razak menyifatkan pihak yang mendakwa Felda bankrap sebagai pengkhianat bangsa kerana sanggup menghina institusi itu yang telah banyak berjasa kepada rakyat.

Ketika berucap pada majlis perasmian penutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda(Iktiraf) 2010 di Putrajaya semalam; beliau mendakwa saham milik Felda yang tersenarai di Bursa Malaysia berjumlah RM4.3 bilion dan ianya selamat dalam simpanan.

Tiada siapa pun menafikan penubuhan Felda pada 1 Julai 1956 oleh Abd Razak Hussein adalah langkah bijak menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan khususnya untuk Orang Melayu. Agensi Pembangunan Tanah yang mempunyai keluasan 905,448 hektar dengan penyertaan 112,635 orang peneroka telah meletakkan Felda peneraju tanah terbesar dunia.

Persoalan yang timbul, adakah matlamat penubuhan Felda telah tercapai dalam ertikata yang sebenarnya terhadap 2 juta warganya? Adakah para peneroka selaku pemilik atas 10 ekar tanah mereka mendapat pulangan setimpal dengan keringat yang telah dicurahkan selama ini?

Adakah 1.2 juta generasi kedua dan ketiga Felda mendapat tempat terpenting sebagai pewaris yang menentukan halatuju Felda ketika ini dan masa hadapan?

Di bawah ini saya lontarkan beberapa persoalan yang mesti di jawab Najib dan pemimpin Umno sebelum membuat tuduhan melulu golongan yang tidak sealiran dianggap pengkhianat bangsa.

1.1 Kenapa kebebasan tidak diberi kepada para peneroka untuk mengusahakan sendiri kebun mereka selepas hutang piutang diselesaikan? Apa maknanya Hakmilik yang diperolehi; tapi Felda yang tentukan segala-galanya? Peneroka diugut, diancam penyingkiran dan dikenakan pelbagai tekanan semata-mata menyahut seruan Razak untuk menjadi masyarakat peneroka yang berdikari.

1.2 Kenapa Wang Tanam Semula berjumlah RM17,000 atau RM1,700 seekar yang dicarum peneroka 20 tahun lamanya tidak diserahkan kepada peneroka hanya kerana mereka tidak mahu mengikut telunjuk Felda dan menanam semula sawit secarapersendirian?

Adakah wajar 10 orang peneroka Sg Koyan di Pahang turun naik mahkamah menuntut wang tanam semula milik mereka sendiri dan menunggu hampir 10 tahun keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan?

Bahkan untuk pengetahuan, dari tarikh keputusan Mahkamah pada 29 Oktober 2010; hingga hari ini wang tersebut belum pun diserahkan pada peneroka terbabit!

Bukan sahaja peneroka Sg Koyan; masih terdapat hampir sepuluh ribu peneroka dinafikan Wang Tanam Semula yang merupakan hak mereka.

1.3 Kenapa peneroka getah yang menanam secara persendirian dinafikan untuk mendapat insentif Tanam Semula di bawah Risda walhal setiap kg getah dipotong untuk tabungan ses yang dikenakan kerajaan berasaskan Seksyen 3, Ordinan Kumpulan Wang bagi perusahaan getah(penanaman semula) 1952? Kemana perginya insentif tanam semula berjumlah RM7,000 sehektar (getah ke getah) dan RM6,000 sehektar(getah ke sawit) milik peneroka?

1.4 Kenapa program Tanam Semula anjuran Techno Plant Sdn Bhd; anak syarikat Felda bermasalah di kebanyakkan Tanah Rancangan Felda? Gambaran kononnya Tanam Semula kelolaan Techno Plant di urus secara professional, menjimatkan kos, sistematik dan berkualiti bertentangan dengan hakikat sebenarnya. Lihatlah apa yang berlaku di Gugusan Ciku, Gua Musang, Nitar 2, Mersing, Aping Timur Kota Tinggi dan berpuluh-puluh Felda lain bagaimana kegagalan Tanam Semula selenggaraan Felda. Adakah kecuaian dan kegagalan kosnya ditanggung Felda?

1.5 Kenapa kos Tanam Semula di bawah Felda begitu mahal jika dibandingkan dengan Sime Darby, IOI dan ladang swasta lain?

Adakah Najib tahu bahwa Kos Pembangunan Tanam Semula yang terpaksa ditanggung peneroka ada yang mencecah RM100,000? Adakah kita tahu setiap hutang tanam semula peneroka dikenakan riba’ 6.25%? Apakah hukumnya riba’ itu?

1.6 Kenapa Felda tidak melakukan muhasabah ketika Mahkamah mengesahkan wujud penipuan atas Kadar Perahan Gred(KPG) yang hanya diterima sekitar 18-19% peneroka kelapa sawit di 70 kilang Felda? Kenapa Felda tidak mematuhi Manual Pengredan Lembaga Minyak Sawit Malaysia(MPOB)dan Analisis makmal Felda di Sg Tekam yang meletakkan standard kualiti KPG sekitar 21-25%? Kenapa Buah Tandan Segar(BTS) yang reject tidak dikembalikan kepada peneroka? Kemana perginya BTS tersebut?

1.7 Kenapa peneroka Felda Cahaya Baru, Masai di Johor tidak mendapat baki pampasan sejumlah RM1 juta walaupun menunggu 17 tahun lamanya? Kemana pergi tanah mereka ketika ini dan siapa yang kaveat? Siapa yang menipu mereka?

Mana pergi Muhyidin Yasin yang menjadi Menteri Besar Johor ketika itu? Apa yang dilakukan Menteri Besar sekarang?

1.8 Kenapa peneroka Felda Sg Buaya, Hulu Selangor di Selangor tidak mendapat baki pampasan berjumah RM850,000 walaupun menunggu 16 tahun lamanya?

Ke mana pergi tanah mereka ketika ini dan siapa yang kaveat? Mana pergi Muhamad Mohd Taib yang menjadi Menteri Besar Selangor ketika itu?

Apa yang dilakukan Tan Sri Rozali Ismail selaku Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda(GWGF) walhal beliau terlibat ketika di peringkat awal Pembangunan Felda Sg Buaya?

1.9 Kenapa gejala sosial sangat tinggi di penempatan Felda? Benarkah dakwaan Datuk Ahmad Maslan jumlah penagih dadah di Felda hanya sekitar 2,000 orang? Sejauh mana aktiviti pembangunan insan golongan belia di jalankan dan tahap keberkesanannya?

Kenapa ditamatkan jawatan Penyelia Pembangunan Agama di Felda sedangkan peranannya sebagai penyelaras kegiataan bercorak keagamaan sangat berkesan suatu ketika dahulu?

2.0 Kenapa pembukaan Tanah Rancangan Felda yang memberi manfaat kepada rakyat ditukar kepada Plantation mulai tahun 1990? Adakah Najib sedar bahawa wujudnya plantation telah mengkhianati matlamat asal penubuhan Felda untuk memberi tanah kepada rakyat?

Adakah kita maklum Felda Plantation berkeluasan 367,710 hektar itu sendiri bercanggah dengan Akta GSA 1960 yang dibentang Tun Abd Razak di Parlimen pada 27 April 1960?

Kenapa ditolak desakan agar Felda Plantation dimansuhkan dan dijadikan penempatan anak peneroka yang susah dan boleh memberi manfaat kepada 79,000 anak peneroka? Siapakah sebenarnya mengaut keuntungan atas Felda Plantation?

Apa yang dipaparkan baru sebahagian kecil persoalan yang berbangkit di Tanah Rancangan Felda. Terlalu banyak jika mahu disenaraikan.

Jangan cuba untuk mengalih perhatian rakyat kononnya mereka yang membela rakyat manakala yang menentang arus dituduh pengkhianat. Mungkin mereka boleh memperdaya golongan peneroka yang jahil; tapi bukan semua. Majoriti generasi muda Felda berpelajaran lebih tahu siapa petualang dan pengkhianat bangsa.

Siapa yang kaya raya, siapa yang dapat projek jutaan ringgit, siapa yang dapat komisyen dari kroni dan siapa yang menjadi mata dan telinga kerajaan dengan memperdaya warga Felda selama ini?

No comments:

Lawat Parlimen

Lawat Parlimen
ADUN Kedah diketuai Speaker dan Timbalan telah datang mengunjungi Parlimen baru-baru ni untuk menyaksikan hari ini dalam sejarah bekas mangsa kezaliman ISA dua kali YB Sdr Yusof Husin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. Kami hanya sempat berbicara seketika waktu rehat dan selepas itu mereka mempunyai agenda lain untuk dibereskan. Diharap dimasa akan datang kita akan dapat melakukan yang lebih baik lagi apabila kehadiran direncanakan dengan teliti melalui Setiausaha Sekretariat parlimen PAS Sdr Wan Johari Wan Omar.