Diri ku ini

My photo
Pendang, Kedah, Malaysia
Berkhidmat untuk semua kerana Allah, Kedah sejahtera, nikmat untuk semua. PAS for All. Malaysia kaya, kenapa rakyat miskin. email: pendang@parlimen.gov.my

Saturday, November 28, 2009

Korban di Eidul Adha

Korban jiwa dan raga.
korban harta benda.
korban masa dan kesempatan.
korban diri dan keluarga.
korban apa saja hatta nyawa.
pengorbanan kemewahan demi untuk melihat Islam terdaulat.
itulah yang sering dikaitkan dengan korban dan pengorbanan manusia.
pengorbanan dan korban pertama dimuka bumi ini melalui qabil dan habil kepada Allah sehingga salah seorang dari mereka telah terkorban . Bahkan yang datang mengajar cara mengkebumikan jenazah adalah seekor burong yang bergaduh sehingga mati salah satu daripadanya.



Pengorbanan nabi Allah Ibrahim yang mempertaruhkan anak baginda Nabi Ismail alaihissalam sebagai menyambut suruhan dan perintah Allah diganti dengan seekor kibash yang besar untuk dikorbankan oleh Nabi Ibrahim diatas keikhlasan hati untuk menyembelih anak baginda tersebut.


Sejarah pengorbanan inilah yang sering menjadi contoh teladan setiap kali khutbah aidil adha dibacakan dihadapan makmum dan dilanjutkan pula dengan ibadah qurban selepas sunat eidil adha tersebut.

Namun sejauh mana ibadah itu dapat mencapai hasrat nurani jiwa manusia, hanya allah yang maha mengetahui dan ganjaran pahala disisi allah akan termaktub sebelum darah tumpah keatas tanah disaat penyembelihan dilakukan.

Keikhlasan lah yang menjadi penentu segalanya bukan berapa jumlah yang dikorbankan.
Pohon apa yang dikorbankan tahun ini diterima sebagai korban yang diterima oleh Allah taala. insyaallah.

Thursday, November 26, 2009

Kemana akhirnya SSPN.

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pendang.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua,
Timbalan Menteri. Memang kita tahu skim simpanan ini adalah untuk pembelajaran anak-anak di
masa hadapan. Apa yang ingin saya kemukakan soalan tambahan adalah seandainya pasangan
ibu bapa itu menyimpan tetapi mereka ini tidak mempunyai anak ataupun tidak ada orang yang
hendak melanjutkan pendidikan ataupun anak dia meninggal ataupun tidak sempat untuk
mencapai usia masuk ke pusat pengajian tingi apakah wang sebanyak RM253 juta ini boleh
diturunkan kepada anak saudara kah, orang-orang lain yang berdekatan dengan si ibu dan bapa
ini? Keduanya tentang RM253 juta daripada manakah revenue selain daripada simpanan
daripada pendeposit? Terima kasih.
Dr. Hou Kok Chuan: Tuan Yang di-Pertua yang SSPN ini sebenarnya ialah satu konsep
simpanan yang mana kita galakkan supaya generasi yang akan datang dapat menikmati wang
itu. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat memanglah kalau ada berlaku seseorang anak itu
katakan meninggal dunia, wang itu boleh dipulang balik. Memang kita ada satu mekanisme yang
begitu baik. Sekian.

Kita kena pastikan bahawa setiap sen simpanan rakyat ini akan dapat diperolehi oleh rakyat juga akhirnya , rakyat tidak mahu bila masa nak simpan bukan main buat offer dan kata-kata manis, tetapi bila bencana berlaku, puas dituntut baru dapat.
Menteri tak jawab pula soalan berhubung dengan mewariskan kepada orang lain dan dari mana lagi revenau yang SSPN dapat selain simpanan peserta kerana kita rasa mesti ada wang dari dana rakyat yang termasuk dalam jumlah 253 juta tu, misalnya 1 kepada 2 atau 1/2 kepada satu yang disimpan. Ataukah hasil dari faedah simpanan tetap atau pelaburan didalam bank, kepada siapa akhirnya yang lebih tu pergi.

AIM dan wanita .

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Pendang.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan
Timbalan Menteri. Tadi Timbalan Menteri ada menyebut berhubung dengan AIM. Kita tahu
bahawasanya wanitalah merupakan golongan yang paling efektif membayar pinjaman daripada
AIM ini dan kementerian sedang mengumpul ataupun menyediakan pangkalan data untuk
mereka yang mengusahakan melalui AIM ini. Soalan yang ingin saya tanya kementerian adalah,
berapa ramai kah pengusaha-pengusaha yang sudah pun dilahirkan melalui pinjaman daripada
AIM setakat yang ada di kementerian. Terima kasih.
DR. 23.11.2009
7
Datin Paduka Chew Mei Fun: Oleh kerana AIM ini bukan di bawah kementerian tetapi
sekarang kita tengah bekerjasama dengan AIM dan seperti apa tadi saya sudah beritahu iaitu
sampai ke hari ini kalau ikut NKIA iaitu target yang kita telah tetapkan, sampai ke hari ini 711
usahawan wanita telah pun kita dapat dibangunkan. Sekian, terima kasih.



Memang yang ni tak dapat kita nafikan, banyak membantu terutama golongan wanita untuk mendapat pinjaman buat memulakan usaha perniagaan bagi menambah pendapatan keluarga.
Biasanya dalam mesyuarat tindakan daerah setiap bulan pun, bila sampai kepada pinjaman AIM ni, maka 90 % daripada pinjaman itu dapat dibayar oleh mereka. Sistem yang diguna oakai oleh AIM adalah sahabat AIM dimana apabila salah seorang peminjam yang tidak dapat melunaskan pinjaman, maka sahabat yang lain kena tolong cari cara bagaimana ia yang berhutang itu dapat melunasi pinjaman beliau, dan mereka ini pula bayar kira minggu, setiap minggu kena buat bayaran tetapi dalam jumlah yang sedikti sahaja.
Apabila sudah selesai bayaran tahap ppertama, maka tahap kedua pula diberi , ianya akan meliputi pembiayaan kenderaan dan membaiki rumah dan lain-lain.
Sejarah perkembangan AIM berkait rapat dengan penubuhan Bank Grameen. Sejarah Bank Grameen bermula apabila Dr. Muhammad Yunus, Pensyarah Ekonomi di Universiti Chittagong Bangladesh menjalankan kajian pada tahun 1976 mengenai golongan miskin yang jarang melibatkan diri dalam dunia perbankan. Daripada kajiannya mendapati golongan miskin ini tidak berupaya untuk meningkatkan taraf hidup mereka kerana tidak mempunyai modal yang mencukupi.

Syabas kak dan makcik kita yang kuat berusaha, moga terus cemerlang.

Wednesday, November 25, 2009

Kementerian Luar Bandar peringkat jawatankuasa.

DR. 24.11.2009
69
3.49 ptg.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya
hendak menyentuh tentang Butiran 090000 - MARA. Seperti mana yang disentuh oleh Yang
Berhormat Parit Sulong dan juga beberapa rakan tadi, saya ingin mengetahui daripada
kementerian kenapakah bantuan penajaan pelajar dalam negeri dan juga luar negara
dikurangkan daripada RM52,000 kepada RM25,000.
Saya juga ingin mengetahui pelajar-pelajar di IPTA atau IPTS yang mendapat penajaan
banyak daripada MARA ini, kerana apa yang saya ketahui daripada pelajar kita yang pergi keluar negara terutama di Jerman baru-baru ini. MARA telah kelewatan untuk memberikan wangpinjaman kepada mereka hampir dua bulan. Mereka terpaksa bersusah payah mencari wang untuk membayar yuran universiti dan juga sewa rumah. Saya berharap mendapat perhatian daripada pihak MARA.



Begitu juga dengan pelajar-pelajar MRSM. Sama dengan Parit Sulong tadi, 2008 kita ada
27,000 pelajar, tetapi 2010 hanya 9,599 walhal pelajar-pelajar kita yang mendapat 5A semakin bertambah ramai dan juga Maktab Rendah Sains MARA juga sedang dibangunkan di banyak negeri. Kenapakah jumlah ini hampir satu pertiga dikurangkan jumlah pelajar di Maktab Rendah Sains MARA ini? Kenapakah ini berlaku? Apakah ini menunjukkan bahawasanya pihak kementerian ini kurang mendapat peruntukan dari segi untuk membantu pelajar-pelajar bumiputera di Maktab Rendah Sains MARA? Berapa peratuskah di Maktab Rendah Sains MARA ini pelajar-pelajar yang terdiri di kalangan bukan bumiputera? Ini kerana kita mendapat tahu bahawasanya sebelum ini kerajaan telah menambahkan kuota bukan bumiputera di Maktab Rendah Sains MARA daripada 5% kepada 10%dan akan pergi sehingga 15%. Saya ingin tahu angka terakhir mutakhir ini berapa peratuskah pelajar-pelajar bukan bumiputera yang berada di Maktab Rendah Sains MARA?

Butiran 00611 – GIATMARA. Sebagaimana yang kita ketahui di antara salah satu kursus
yang diajar di GIATMARA adalah membaiki kenderaan ataupun motor mekanik. Saya ingin tahu daripada pihak kementerian adakah pelajar-pelajar ini dilatih menggunakan jentera ataupun enjin yang up-to-date ataupun yang moden seperti mana fuel injection, menggunakan komputer didalam pengendalian kenderaan tersebut. Ini kerana banyak yang saya lihat enjin-enjin jenis lama misalnya Proton Saga jenis lama masih lagi digunakan. Sekiranya kita hendak pelajar-pelajar itu membuka bengkel, mestilah mereka ini diajar dengan teknik-teknik moden enjin masa kini.

Butiran 00670 - Pengangkutan. Kalau dahulu kita menggunakan kenderaan bas RIDA,
kemudian diubah kepada bas MARA dan sekarang ini MARA Liner. Saya ingin tahu daripada
pihak kementerian apakah dasar yang digunakan oleh kenderaan-kenderaan MARA ini untuk
memasuki kawasan-kawasan luar bandar? Di kawasan saya daripada Pekan Pendang pergi ke
Jenun dan Guar Chempedak kalau dahulu kita ada kenderaan MARA, tetapi sekarang sudah
tidak ada. Pelajar-pelajar di sekolah bantuan, sekolah model khas, Sekolah Menengah Teknik, Maktab Rendah Sains MARA sekarang ini tidak mempunyai kenderaan awam untuk mereka keluar (outing) setiap minggu ataupun untuk pelajar itu bergerak di antara satu tempat ke satu tempat kerana sudah tidak ada kenderaan bas MARA lagi.

Butiran 04000 - RISDA. Kalau di dalam kementerian komoditi, kita didedahkan dengan
tanaman getah balak. Saya ingin mendapat kepastian daripada RISDA, adakah RISDA
mempunyai hubung kait di dalam memberikan bantuan terhadap pekebun-pekebun kita yang
ingin menanam getah untuk mendapat balak daripada pohon getah ini dan adakah benih
disediakan untuk getah jenis balak ini?

Butiran 070000 - KEDA. Tadi disebut bahawasanya KEDA ini akan tamat perjanjiannya
dengan kerajaan negeri pada 2011 dan kita tahu bahawasanya 87% daripada kawasan negeri Kedah adalah dilingkungi oleh program KEDA ini. Apa yang ingin saya kemukakan adalah, ini mungkin kali ketiga saya kemukakan di dalam Parlimen ini, tetapi pada sesi yang lepas, Menteri telah menjawab akan dijawab dengan bertulis. Akan tetapi, sampai sekarang dari 2004 belum terima jawapan lagi. Saya berharap Menteri dapat memberi jawapan dengan tulus dan juga ikhlas. Ada 13 orang daripada penduduk telah dijemput untuk menjalankan kursus Induksi di Pusat Latihan KEDA di Sik, kemudian datang proses untuk menyerahkan rumah kepada mereka, tetapi tiba-tiba ada orang politik yang menghalang daripada mereka ini mendapat kunci rumah seramai 13 orang. Saya pasti pihak kementerian sudah menjalankan siasatan dan pada hari ini
diharap mendapat jawapanlah. Kalau tidak, maknanya kali keempat saya akan kemukakan untuk masa yang akan datang.
Seterusnya rumah-rumah KEDA ini. Saya berjumpa dengan pegawai KEDA. Mereka
mengatakan bahawa mereka menghadapi masalah kerana banyak rumah-rumah KEDA yang
kosong, terutama sekali kepada ibu-ibu tunggal yang telah diberikan rumah. Setelah mereka berkahwin dan dibawa pergi ke tempat lain oleh suami-suami baru mereka... [Disampuk][Ketawa] Suami mereka bawa ke tempat lain dan rumah itu tinggal kosong. Apabila tinggal kosong, pihak KEDA hendak beri kepada orang lain tidak boleh. Jadi, itu masalah yang dihadapi oleh pihak pengurusan KEDA. Saya harap pihak kementerian dapat memberi jawapan bagaimanakah caranya proses ini dapat diselesaikan kerana banyak rumah-rumah kosong yang terdapat di KEDA ini, tetapi tidak boleh diserahkan kepada orang lain yang lebih memerlukan. Apabila sudah berkahwin baru, maknanya kelayakan untuk mendapat rumah KEDA itu sudah tidak ada.
Seterusnya, jalan kampung dan bekalan air di luar bandar, saya harap pihak kementerian tolong beri perhatian dengan lebih serius. Kalau Menteri yang lepas, bekas Menteri Besar Selangor dahulu dia mengatakan jalan-jalan kampung ini dia akan pastikan 30 kilometer daripada pekan-pekan akan diturap. Jadi, saya harap Menteri yang ada pada hari ini akan meneruskan 30 kilometer yang dijanjikan oleh Menteri yang lama itu.

Sekian, terima kasih Tuan Pengerusi.

Monday, November 23, 2009

Usul tergempar mengenai H1N1

Berapa banyak duit judi dapat?

Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan terima kasih Yang
Berhormat Timbalan Menteri. Saya hendak tanya apakah rasional Kementerian Kewangan tidak
membutirkan tentang cukai perjudian ini kerana setahu saya cukai perjudian ini bukan kecil
jumlahnya. Jawapan yang saya terima semalam berkenaan dengan cukai perjudian hanya untuk
4D sahaja sehingga setakat bulan Oktober tahun ini, sudah RM900 juta lebih, lebih RM1 bilion
setiap tahun.
DR. 18.11.2009
114
Apakah rasionalnya mengapa dalam anggaran hasil kita, dalam buku anggaran hasil kita,
kita tidak nampak ada satu detail tentang cukai perjudian ini kerana kita hendak tahu setiap tahun
berapa cukai perjudian yang disumbangkan kepada hasil negara. Terima kasih.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Yang Berhormat, saya ada maklumat sedikit.
Berapakah hasil kutipan negara melalui aktiviti perjudian? Kutipan pada tahun 2008 ialah RM2.5
bilion. Ianya dimasukkan dalam wang yang disatukan dan digunakan untuk pembangunan dan
pengurusan negara. Minta maaf, judi ini saya tidak berapa tahu banyak sebab memang saya
tidak ambil campur hal-hal judi. Timbalan Menteri yang satu lagi menjaga hal-hal judi. Jadi
patutnya tanya masa dasar itu.
Beberapa Ahli: Dia tidak menjawab.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Ya kah? Tak tahulah itu, mungkin banyak sangat
agaknya, dia tak ada. Jadi saya hendak minta maaf...
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Yang Berhormat Timbalan Menteri,
celahan ringkas saya mengenai judi ini.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Judi pun hendak celah juga? [Ketawa]
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Dalam buku anggaran hasil negara
ini, saya hendak tanya mengapa kod hasil judi untuk perjudian ini tidak masuk, ia diletakkan ke
mana sebenarnya? Consolidated fund kah ataupun kenapa tidak ada kod-kod hasil daripada
sumber judi, itu satu.
Kedua, Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi sebut kata pendapatan itu digunakan
untuk, saya faham daripada jawapan kerajaan yang lepas-lepas, hasil judi ini bagi membiayai
sukan, kebajikan, sosial, kebudayaan, kesihatan, itu ke mana duit judi itu dibelanjakan. Itu
jawapan rasmi bertulis daripada kerajaan. Ia pergi kepada sukan, kebajikan, sosial, kebudayaan
dan kesihatan. Akan tetapi dua bahagian dalam celahan ringkas saya tadi ialah kod judi itu di
mana dalam buku anggaran hasil? Terima kasih.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Saya kena minta bantuan sebab tadi pun saya kata
saya tidak berapa arif sangat tentang judi ini, jadi kena minta bantuan.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Sikit lagi kalau pegawai boleh jawab sekali. Saya tahu
sama ada cukai judi ini, ia hanya 4D sahaja ataupun termasuk cukai daripada Genting Highlands
juga?
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: [Bangun]
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Semua saya kira.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Saya rasa itu RM2.5 bilion hanya 4D sahaja kalau tidak
silap.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Ya kah?
DR. 18.11.2009
115
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Mungkin Genting Highlands lain, ada RM2 bilion lagi.
Jadi kita hendak tahu berapakah kod itu sebab dalam anggaran hasil tidak ada. Ini ramai orang
berminat hendak tahu.
[Tuan yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa]
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Okey, okey.
Tuan Pengerusi: Ahli-ahli Yang Berhormat, confine kepada perkara-perkara yang telah
dibangkitkan sahaja. Kalau tidak bagi Yang Berhormat, saya berpura-pura tidak dengar sampai
jam 1 tidak apa, saya buat saya punya kerja. [Ketawa]
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Sila Yang Berhormat Wangsa Maju.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan terima
kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Tadi saya telah bangkitkan mengenai dengan
perjudian di cyber cafe walaupun di kedai-kedai itu untuk bermain games dan sebagainya. Akan
tetapi yang sebenarnya di dalam cyber cafe ini kebanyakannya adalah perjudian dan kita telah
bangkitkan banyak kali di DBKL seperti yang saya sebutkan tadi. Mereka terus memberitahu
kami kata mereka tidak ada kuasa, tidak ada undang-undang untuk menyekat dan mengambil
tindakan terhadap perjudian ini.
Saya tahu DBKL ada hak untuk menarik balik lesen premis dan bagaimanakah
Kementerian Kewangan ataupun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri
Kewangan untuk mengawal iaitu melaksanakan objektif D, memastikan dasar kerajaan untuk
mengawal dan mengurangkan perjudian dilaksanakan dengan berkesan. Sampai sekarang
berterusan di Wangsa Maju dan saya percaya bahawa perjudian ini di merata tempat di Wilayah
Persekutuan.
Kedua, bagaimanakah kalaulah setiausaha politik Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri ada kuasa banyak yang boleh mengarahkan Datuk Bandar berhenti jangan ambil
tindakan terhadap apa yang salah di DBKL. Sebaliknya saya rasa setiausaha politik ini boleh
juga mengarah Datuk Bandar mengambil tindakan terhadap cyber cafe yang salah ini. Ataupun
telah mengarah Datuk Bandar jangan ambil tindakan, sila beri penjelasan. Terima kasih.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Terima kasih Yang Berhormat. Jelas daripada apa
yang dinyatakan oleh Yang Berhormat sendiri bahawa terdapat kementerian-kementerian yang
mempunyai kuasa yang bertindih tentang soal ini. Jadi kena ada satu penyelarasan supaya
masalah yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat ini dapat diambil tindakan secara berkesan. Jadi
mungkin bagi pihak Kementerian Kewangan, mengawal premis-premis seperti itu mungkin di luar
kebiasaan kita Kementerian Kewangan. Ini lebih kepada pihak berkuasa tempatan dan juga
yang mengeluarkan lesen premis tersebut tetapi kita boleh bagilah.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Yang Berhormat Timbalan Menteri, sedar
atau tidak bahawa dalam bajet ini, Menteri Kewangan juga memberikan pemberian khas,
bayaran pemberian khas kepada Wilayah Persekutuan. Jadinya memberikan wang kepada
DR. 18.11.2009
116
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur buat apa kalau mereka tidak melaksanakan objektif
Kementerian Kewangan, untuk bukan mengurangkan, kita hendak hapuskan perjudian di cyber
cafe oleh sebab ia menjejaskan kepentingan murid-murid dan ibu bapa di sana. Kita tidak mahu
budaya ini berlaku di Wilayah Persekutuan. Terima kasih.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Saya menerima pandangan Yang Berhormat itu. Cuma
kalau pun kita beri peruntukan khas itu, saya rasa tidaklah bertujuan untuk mengawasi tempattempat
perjudian, itu mesti tujuan-tujuan lain. Akan tetapi Yang Berhormat hendak menunjukkan
ada hubungan, ada kaitan dan saya jelas. Saya hendak minta Tuan Pengerusi.
1820
Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Penjelasan, satu soalan mengenai empat
ekor.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Mengenai apa? Empat ekor pula, sila.
Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Bolehkah, kerana jawapan yang saya
terima mengenai cukai-cukai yang dikutip daripada jualan empat ekor. Special draw itu adalah
untuk kegiatan-kegiatan kebajikan yang dilaksanakan oleh kerajaan tetapi saya fikir jawapan ini
tidak munasabah, kerana kalau tidak special draw, tidak ada cukai tambah maka kerajaan tidak
ada duit untuk menjalankan aktiviti kebajikan. [Tepuk]
Oleh itu, saya pohon atas perikemanusiaan terhadap rakyat, khususnya yang miskin itu,
bolehkah kita memberhentikan special draw itu, kerana mengakibatkan kesengsaraan mereka,
tiga puluh kali special draw tahun ini. Saya fikir ini melampau Yang Berhormat Timbalan Menteri,
bolehkah saya dapat satu janji daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri supaya tahun depan
kita hentikan dan tidak beri apa-apa lesen untuk special draw, boleh atau tidak? [Tepuk]
Yang Berhormat Timbalan Menteri, atas perikemanusiaan terhadap rakyat, mereka yang
membeli special draw, mengalami kesusahan, terima kasih. [Ketawa]
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Terima kasih Yang Berhormat, sebab itulah tadi awalawal
lagi saya katakan yang saya tidak terlibat dengan perjudian ini. [Ketawa] Jadi kalau saya
hendak katakan saya beri janji, macam mana? Saya tidak menjaga hal-hal ini dan hendak
membuat janji, susahlah Yang Berhormat. Akan tetapi, ada tetapi nya...
Seorang Ahli: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Yang Berhormat Batu Gajah boleh duduk sebentar,
akan tetapi saya akan bawa permintaan yang bersungguh-sungguh Yang Berhormat ini kepada
Kementerian Kewangan. [Tepuk] Kepada sahabat saya, cakap...
Tuan Wee Choo Keong, S.M.K. [Wangsa Maju]: Termasuk cyber cafe?
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Serta juga cyber cafe. [Dewan riuh]
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: [Bangun]
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Boleh kita habiskan di sini? Cukup?
DR. 18.11.2009
117
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya bukan
sahaja minta Timbalan Menteri bawa isu ini dan bentangkan dalam mesyuarat tetapi saya ingin
Timbalan Menteri perjuangkannya, terima kasih. [Dewan riuh]
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Saya kurang berminat berjuang untuk perjudian ini
[Ketawa] ya, Yang Berhormat Rasah. Akan tetapi sebelum Yang Berhormat bertanya, tadi Yang
Berhormat Rasah ada sebut banyak benda-benda. Saya pun ada maklumat dengan saya, saya
baru nampak banyak jenis perjudian dan hasilnya banyak. Boleh dengar saya cakap dahulu?
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Okey.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Selepas itu mungkin Yang Berhormat Rasah tidak perlu
tanya lagi. Memang Genting Malaysia Berhad, ini kutipan hasil perjudian mengikut syarikat bagi
tempoh tahun 2002 sehingga tahun 2009, tetapi saya baca untuk satu tahun cukuplah, ya?
Tahun 2008. To get some idea, the magnitude:
Syarikat Perjudian Kutipan Tahun 2008 (RM)
Genting Malaysia Berhad 949,802,170
Sport Toto 509,739,584


Magnum Corporation 396,477,793
Pan Malaysia Pools 270,764,197
Pan Malaysia Racing 138,576,130
Daily One Corporation 18,082,749
Sandakan Turf Club 18,182,034
Sarawak Turf and Equestrian
Club
29,776,000
JUMLAH 2.37 BILION
Jumlah tahun 2008 ialah RM2.37 bilion, itulah, bukan sahaja buat.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Timbalan
Menteri, nampaknya tadi hasil itu amat banyak kepada hasil negara yang datangnya dari hasil
perjudian. Jadi, kita minta Yang Berhormat Menteri memperjuangkan tetapi bukan
memperjuangkan perjudian tetapi memperjuangkan supaya perjudian itu dikurangkan. [Tepuk]
Walaupun hasil itu banyak dan kita juga mengetahui bahawa hasil itu penting kepada negara
tetapi apa yang kita minta ialah bukan sahaja special draw itu perlu dibatalkan dan langsung tidak
ada, mungkin saya boleh berikan sedikit latar belakang mengenai special draw ini.
Special draw ini bermula pada tahun 1998 ketika kita ada JE operate di Bukit Pelanduk.
Special draw itu digunakan untuk mendapat sedikit hasil daripada orang ramai dan hasil itu
disalurkan untuk bantuan kebajikan dan kepada mangsa-mangsa JE di Bukit Pelanduk. Akan
tetapi sekarang ini 72 kali setahun, 12 kali kepada setiap syarikat, enam syarikat, 72 kali setahun,
DR. 18.11.2009
118
itu sudah terlalu lebih. Bukan sahaja special draw kita minta dibatalkan, kita juga minta hari
pertaruhan yang ada sebanyak tiga kali seminggu ini iaitu hari Rabu, hari Sabtu dan hari Ahad.
Jadi apa yang kita minta ialah dikurangkan sehingga dua kali seminggu iaitu hari Sabtu dan hari
Ahad sahaja.
Hari Rabu itu hari bekerja, jadi tidak perlulah main 4D, hari Sabtu dan hari Ahad itu hari
cuti, jadi kalau main sedikit tidak apalah. Saya minta agar dapat dikurangkan dan saya minta
Yang Berhormat Timbalan Menteri supaya perjuangkan dan kurangkan lagi sehingga dua kali
seminggu. [Ketawa]
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Timbalan Menteri, Balik Pulau
sedikit. Saya tidak pandai sangat dari segi ekonomi ini, judi pun saya tidak pandai, kita orang
Islam tidak bolehlah. [Ketawa] Timbalan Menteri saya hendak tanya sedikit, kerana inilah
sahajalah kepakaran yang saya ada. Dari aspek Perlembagaannya, memang setakat hari ini
cukai-cukai tersebut yang dibenarkan seperti dikatakan cukai dibenarkan di bawah undangundang,
tetapi memandangkan jumlah yang dikatakan tadi besar dan kalau ikut peruntukan
Perlembagaan fasal 97, kalau saya boleh kongsi dan Timbalan Menteri boleh bantu kita di sini.
“Segala hasil dan wang yang walau bagaimanapun didapatkan atau diterima oleh
Persekutuan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan Undang-undang Persekutuan
hendaklah dibayar masuk ke dalam serta menjadi satu kumpulan wang yang dinamakan
Kumpulan Wang Persekutuan Disatukan,” maksudnya kutip macam mana pun perlu disatukan.
Soalan saya dan mohon penjelasan, memandangkan jumlah ini besar, mungkin melibatkan
sumber yang haram, judi ini jelas haramnya. Jadi bagaimana dari segi aspek pengurusan itu? Di
mana diletakkan? Kalau ikut perlembagaan ini, kita tidak perlulah kata secular Perlembagaan,
kerana itu isu lain.
Akan tetapi, kalau ikut tuntutannya mesti disatukan, adakah sehingga hari ini, jumlah
yang besar itu, kesemuanya disatukan ke dalam satu dan itu akan menyambung kepada
persoalan Yang Berhormat Machang tadi, malah tidak dipastikan pula di dalam kerajaan kita,
tiada kod kan? Persoalannya ialah, adakah ia disatukan di dalam consolidated fund itu, benda
yang haram itu kerana sekarang ini negara berbincang mengenai halal dan sebagainya, dan
saya rasa itu perlu diperjuangkan. Mohon penjelasanlah. [Ketawa]
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Terima kasih Yang Berhormat, saya akan perjuangkan,
tadi saya kata saya akan bawa, ya? Ini hendak suruh perjuangkan?
Seorang Ahli: Ya.
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Kalau ada cadangan boleh? Berkenaan isu ini?
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Boleh. [Ketawa]
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Tuan Pengerusi saya hendak cadangkan begini,
sebab laporan dalam muka surat 196 ini ada tercatat iaitu bayaran ganti rugi, pulang balik dan
hapus kira, jumlahnya banyak juga. Kalau kita perinci dan kita campur bayaran balik hasil
DR. 18.11.2009
119
kehilangan barang-barang, wang kerajaan, hapus kira pinjaman ada RM446 juta campur dengan
RM370 juta, RM2 juta, RM74 juta dan kalau kita campur pula dengan terlebih bayar seperti yang
dilaporkan oleh Ketua Audit Negara itu. berjumlah RM20 bilion lebih, saya rasa tidak perlu pun
duit judi ini untuk digunakan untuk pembiayaan sukan, budaya dan sebagainya.
Apa kata kalau duit hasil perjudian, hasil ini kita usahakan supaya berkurangan
aktivitinya, tetapi kita tumpukan untuk mengurangkan kehilangan hasil dari sudut kelemahan
pengurusan atau pentadbiran kita terutamanya, kita kurangkan kepada elemen memberi
penghapus kiraan cukai ataupun Perkara 40300 kalau Yang Berhormat Timbalan Menteri tengok.
Kita meluluskan, menghapus kira pinjaman maknanya pinjaman yang sepatutnya dibayar oleh
peniaga atau sebagainya, maknanya kita memberi cadangan sehingga hapus kira pinjaman pun
kita boleh terima lagi.
1830
Apatah lagi kalau ada cadangan untuk kata, tidak apalah hasil daripada judi ataupun
sinful activity ini kita kurangkan. Kita tumpulah elemen untuk menampung atau mengurangkan
kebocoran dalam pendapatan-pendapatan kerajaan ataupun pendapatan negara kita. Saya rasa
itu agak lebih membantu daripada kita mengambil juga jumlah beberapa bilion ini dianggap
sebagai perolehan untuk digunakan bagi mentadbir atau menyalurkan kepada-apa aktiviti dalam
negara kita. Terima kasih.
Dato’ Dr. Awang Adek Hussin: Terima kasih, Yang Berhormat. Cuma saya hendak
kata satu sahajalah dalam kes perjudian ini. Saya tidak merasakan bahawa kerajaan
membenarkan perjudian ini untuk mencari hasil bagi membiayai kegiatan-kegiatan seperti sukan.
Ini bermakna kalau tidak ada duit perjudian apakah aktiviti-aktiviti ini tidak dapat dilakukan. Saya
rasa tidak boleh dilihat sebegitu. Yang boleh dilihatnya ialah oleh kerana adanya wang perjudian
ini, hasil perjudian ini, ke arah mana hendak dibelanjakan. Barangkali dicari perbelanjaanperbelanjaan
yang berbentuk sukan atau apa yang tidak boleh mendatangkan mudarat sangat.
Sudah tentu peruntukan ini tidak elok kalau diberikan kepada badan-badan yang melibatkan
kegiatan agama dan sebagainya. Jadi kena lihat begitulah. Walau bagaimanapun saya
berjanjilah saya akan bawa, saya berjanji, saya kata hampir kesemua Ahli Parlimen di sini di
kedua-dua belah pihak meminta supaya kita mengurangkan kegiatan ini. [Tepuk] Terima kasih.
Yang Berhormat Pasir Mas juga menyebut tentang berapa kutipan cukai rokok dan arak
oleh kerajaan? Jumlah kutipan duti import, duti eksais dan cukai jualan ke atas rokok dan
minuman keras bagi tahun 2008 adalah berjumlah RM4.4 bilion atau RM4,481 juta; iaitu
RM1,502 juta bagi minuman keras dan RM2,979 juta bagi rokok. Ini pun banyak juga hasil
daripada ini.
Soal RPGT. Saya hendak sebut sikit sebab Yang Berhormat Petaling Jaya Utara pun
ada sebut. Ramai yang sebut. Sebenarnya ini - apakah kita tidak menampakkan perubahan
dasar. Mengapa kita lakukan RPGT walaupun 5%. Saya ingin nyatakan bahawa kita dapat
DR. 18.11.2009
120
mendengar semua pandangan dan permintaan supaya kerajaan meneliti semula cadangan ini.
Cuma buat masa ini bagi pihak kerajaan kalau kita kira dari segi pertimbangan untuk
mendapatkan hasil, langkah ini dijangka akan membawa masuk RM504 juta iaitu setengah bilion
ringgit kepada kerajaan.
Namun begitu seperti yang saya katakan, kalau ada satu dua perkara dalam belanjawan
negara yang diumumkan baru-baru ini yang menimbulkan reaksi rakyat yang nampaknya kurang
bersetuju sedikit, saya akui bahawa RPGT dan juga credit card menjadi dua perkara itu. Jadi,
kita mengambil maklum reaksi-reaksi ini bukan sahaja di dalam Dewan yang mulai ini tetapi juga
di luar Dewan. Mungkin ini dapat dibincangkan di peringkat kementerian.

Berbillion be, pasal tu lah susah nak benteras, tambah lagi ada.!!
Dimana duit rakyat dibelanjakan.

Sunday, November 22, 2009

Dimana peranan Kementerian Luar kita ni !!

Tuan Pengerusi: Yang Berhormat Pendang.
2.54 ptg.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Assalamualaikum warahmatullaahi
wabarakaatuh Tuan Pengerusi, saya ada beberapa Butiran untuk disuarakan, pertamanya
120000 – Pejabat Perwakilan Luar Negeri. Daripada kunjungan kita ke luar negara, saya dapati masih banyak terdapat pegawai-pegawai kita di luar negara yang masih menggunakan kenderaan yang kita rasa tidak selesa sebagai pegawai di pejabat yang mewakili Malaysia.

Kalau kita pergi ke luar negara misalnya ke Egypt, saya dapati banyak kenderaan-kenderaan Malaysia yang telah dieksport ke sana, kalau kita tengok kereta Kancil misalnya, tok Arab yang badan besar ini memandu kereta Kancil yang kecil boleh muat, tetapi kenapakah di negara Arab itu tidak ada kenderaan yang hendak kita promosikan kepada negara-negara mereka?

Kemudian kalau kita pergi ke... Baru ini saya melawat ke Kazakhstan, Uzbekistan,
mereka mengatakan mereka berada dalam keadaan understaffed, jadi apakah peranan
Kementerian Luar Negeri terhadap penjawat-penjawat perwakilan kita di luar ini, sehingga menyebabkan mereka understaffed. Satu lagi ialah bahasa-bahasa yang digunakan oleh pegawai-pegawai kita yang berada di sana, apakah salahnya kita mendedahkan mereka denganbahasa-bahasa tempatan.

Kemudian mengenai pintu masuk, pintu masuk, saya berharap kepada
pegawai-pegawai di Kementerian Luar ini, mana sahaja pintu masuk yang berada di negara tersebut hendaklah mendapat maklumat yang jelas berhubung dengan cara-cara kemasukan rakyat Malaysia ke negara mereka, kerana ini berlaku pada saya sendiri dan beberapa rakan yang lain apabila kami ke Iran misalnya melalui Tehran, kita boleh masuk tanpa visa, tetapi apabila kita masuk melalui Bagram, kita tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai visa.

Kami terpaksa bermalam dalam kesejukan malam, pakai enam helai baju pun Tuan
Pengerusi, masih rasa sejuk kerana tidur di bawah khemah di Bagram tersebut di no man’s land, ini bermakna masalah perhubungan di antara pegawai dengan staf di pintu-pintu masuk. Jadi saya harap perkara ini dapat diselesaikan oleh pegawai di Kementerian Luar kita.

Kemudiannya Butiran 030000 – Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala dan 020000 Jabatan Hubungan Dua Hala dan Pelbagai Hala. Saya ingin tahu dari Kementerian Luar bagaimanakah peranan dalam suasana sekarang ini yang dimainkan oleh negara kita sebagai anggota OIC, walaupun tidak lagi menjadi pengerusi berhubung dengan masalah pertolongan yang mungkin rakyat kita boleh berikan kepada Palestin ataupun apa sahaja pintu masuk ke Palestin yang sebenarnya orang luar tidak boleh masuk kerana disekat oleh Kerajaan Negeri Mesir.

Saya pernah menyuarakan hasrat ini sebelum ini kerana ini berlaku kepada rombongan rombongan NGO kita untuk memberi bantuan tetapi disekat untuk memasuki negara Palestin.

Akhir sekali Tuan Pengerusi, baru-baru ini ada Persidangan PBB. Saya dapati ramai
Ketua-ketua Negara besar seperti Amerika Syarikat Barrack Obama, Perancis dan juga Itali pergi ke sana. Akan tetapi Perdana Menteri kita pergi ke Perancis tidak pergi ke persidangan PBB.



Saya hendak tahu daripada Kementerian Luar Negeri, apakah punca yang menyebabkan
pemimpin besar ke negara kita tidak berkunjung ke PBB? Itu sahaja Tuan Pengerusi.

Pertemuan Muslimat PAS dan Wanita Siam Kelab Penyokong.

Atas usaha bersama untuk melihat Kerajaan Kedah terus mantap dan mendapat sokongan semua, maka pada

petang tadi di Wat Titi Akar , berlangsung satu pertemuan yang julung kali diadakan diantara Wanita dari keturunan Siam Kelab Penyokong Siam yang mewakili kampong yang majoriti masyarakat Siam dari Kpg Paya Mat Inson, Kpg Padang Pusing, Kpg Padang Peliang, Kpg Titi Akar, Kpg Tok Set dan Kpg Baru . Pertemuan diadakan dengan AJK Muslimat PAS Pendang yang diketuai oleh Ketua Dewan Muslimat Dr Rahimah Sahit dalam suasana harmoni dan penuh keceriaan.


Wanita Siam diketuai oleh Puan Charit , yang merupakan ketua wanita Kelab Penyokong PAS bagi kawasan Pendang.


Perbincangan berkisar kepada dasar Kerajaan Kedah yang diterajui oleh PAS dan Keadilan dan juga prinsip permuafakatan yang dapat mengeratkan lagi hubungan antara kaum di Negeri Kedah ini tanpa melanggari adat susila bangsa dan pengamalan terhadap agama masing-masing.

Majlis disudahi dengan jamuan ringan dan penyampaian cenderahati kepada ketua wanita Siam , Puan Charit.

Hari Keluarga PASTI Paya Rawa.


Hari Keluarga PASTI Paya Rawa.

Dalam suasana hujan renyai, satu majlis untuk menyatukan waris pelajar PASTI Paya Rawa Pendang telah diadakan pada 21 November di perkarangan PASTI tersebut.
Berbagai acara sukaneka untuk anak-anak PASTI dan ibu bapa telah dilangsungkan dalam suasana meriah walaupun hujan turun renyai-renyai.
Antara acara yang dipertandingkan adalah tiup belon, kerusi muzik, memasukkan air kedalam botol, pertandingan azan untuk anak-anak PASTI,
basikal lambat, timbang bola, disamping nombor bertuah yang diadakan untuk memeriahkan lagi suasana.
Majlis diadakan sehinggalah masuk waktu sembahyang fardhu Zohor dan disudahi dengan jamuan ala kampong yang disiapkan secara gotong royong.

Majlis juga diserikan dengan pidato oleh Johan Pidato Kanak-kanak PASTI tahun lalu bagi daerah Pendang. Amat petah beliau berpidato dan lancar sekali bacaan hadis dan ayat Quran yang diucapkan , mungkin inilah hasil daripada didikan guru-guru PASTI yang selama ini bertungkus lumus mengajar anak bangsa menjadi anak yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Ana dijemput untuk merasmikan upacara penutup disamping membuat pemeriksaan kesihatan sepanjang waktu sukaneka ini diadakan.


Keriuhan dan kemeriahan program ini menunjukkan bahawa kesepaduan ibubapa disini adalah amat akrab sekali dan mereka dapat memberikan kerjasama didalam program yang dijalankan.

Lawat Parlimen

Lawat Parlimen
ADUN Kedah diketuai Speaker dan Timbalan telah datang mengunjungi Parlimen baru-baru ni untuk menyaksikan hari ini dalam sejarah bekas mangsa kezaliman ISA dua kali YB Sdr Yusof Husin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. Kami hanya sempat berbicara seketika waktu rehat dan selepas itu mereka mempunyai agenda lain untuk dibereskan. Diharap dimasa akan datang kita akan dapat melakukan yang lebih baik lagi apabila kehadiran direncanakan dengan teliti melalui Setiausaha Sekretariat parlimen PAS Sdr Wan Johari Wan Omar.