Diri ku ini

My photo
Pendang, Kedah, Malaysia
Berkhidmat untuk semua kerana Allah, Kedah sejahtera, nikmat untuk semua. PAS for All. Malaysia kaya, kenapa rakyat miskin. email: pendang@parlimen.gov.my

Tuesday, December 16, 2008

Perbahasan ana dalam RUU SPRM (ganti BPR ).

TYDP

1. Harapan rakyat agar suruhanjaya ini tidak akan menjadi saperti suruhanjaya-suruhanjaya yang telah ditubuhkan banyak sebelum ini saperti suruhanjaya hak asasi manusia ( SUHAKAM) yang menjadi harimau kertas yang tak bergigi, buat syor dan tak dipatuhi dalam melaksanakan syor tersebut, hanya ada laporan dan tak dibenarkan untuk dibahaskan dalam parlimen laporan mereka dan syor mereka mengenai perhimpunan aman dan ISA semacam tak diendahkan.
2. Begitu juga syor dari suruhanjaya penambahbaikan polis sampai sekarang tinggal syor saja dalam isu IPCMC, begitu juga dengan suruhanjaya video Lingam , ia berjalan bagai kura-kura dalam melunasi hasrat anggota suruhanjaya terhadap mereka yang terlibat. Jadi rakyat tidak mahu selepas ini ada satu lagi penambahan koleksi suruhanjaya yang tidak ada gigi , hanya tinggal gusi yang tidak dapat berfungsi dengan tegas dan bebas. Jaminan yang diberi oleh Menteri dari Padang Rengas menyatakan suruhanjaya ini akan mempunyai gigi yang tajam, harap jaminan ini dapat menjadi kenyataan dan indeks persepsi rasuah kita juga akan menjadi lebih baik dimasa depan.
3. Kita tidak mahu suruhanjaya yang ditubuhkan ini, menggunakan banyak wang pembayar cukai untuk emolument mereka, tetapi bila syor yang dibuat, akhirnya PM dan peguam Negara juga yang menjadi kata putus dalam menentukan siapa yang akan didakwa dan siapa yang akan terlepas.
TYDP
4. Didalam RUU ini, kita tidak nampak satu ikatan yang memberikan kuasa kepada suruhanjaya ini untuk bertanggungjawab dalam proses pendakwaan dan tidak ada satu kemestian bagi Peguam Negara mematuhi syor daripada suruhanjaya ini. Apakah ini menandakan suruhanjaya ini tidak bebas menjalankan tugas mereka, setelah bertungkus lumus menjalankan siasatan, tiba-tiba bila sampai kepada proses untuk dakwaan, Peguam Negara tidak mahu meneruskan presedur. Tidak ada satu klausa yang menyatakan syor dari suruhanjaya hendaklah dipatuhi oleh AG.

5. AG pula tidak tertakluk kepada persoalan yang boleh mempertikai keputusan beliau, apakah beliau boleh ditanya dan dipersoal kenapa tidak didakwa kes yang telah disiasat oleh suruhanjaya dan apakah beliau boleh dipersoalkan juga didalam parlimen yang membahas dan meluluskan RUU ini.
6. Kalau kita telusuri sejarah yang ada sebelum ini saperti dizaman Allahyarham TS Abd Kadir Yusof, yang menjadi menteri undang undang, dan TS Hamzah Abu Samah dan duduk dalam parlimen yang boleh dipersoalkan tindakan mereka , oleh sebab itu pada zaman itu banyak jerong yang merengkok didalam penjara berbanding sekarang ini dimana bilis sahaja yang lekat, kerana jaring yang dipasang adalah jaring sarang labah-labah
7. Memang kita tidak nafikan ada 3 Jawatan kuasa yang akan dibentuk dalam RUU ini dan ada lagi jawatankuasa lain yang tidak dimasukkan dalam RUU ini, khabarnya akan ditambah kemudian, saperti Lembaga Penasihat, Jawatankuasa Pemantau dan Jawatankuasa aduan, masing-masing dilantik oleh Yang Dipertuan Agong , Perdana Menteri dan Menteri, tetapi dari satu segi sudah nampak bahawa ia menggambarkan Suruhanjaya ini boleh dipengaruhi, tidak bebas. Lembaga penasihat boleh menasihat, lembaga pemantau boleh memantau , Cuma JK aduan saja mungkin boleh melihat mana yang tidak betul lalu boleh membuat aduan, tetapi apakah aduan itu akan dipatuhi atau tidak, ianya masih belum menggambarkan adanya kebebasan SR. Bahkan dinyatakan ada 2 lagi JK yang tidak dilepaskan dalam RUU ini, hanya dijelaskan dalam akhbar sahaja.
TYDP
8. Walaupun roh suruhanjaya ini nampak ianya menunjukkan ketelusan dan akan mencengkam semua yang mungkin terlibat dengan rasuah, tetapi dari klausa yang ada, kita tidak nampak suruhanjaya ini akan dapat berfungsi dengan tuntas dan telus. Saperti yang saya sebutkan tadi, akhirnya hanya AG yang berkuasa saperti yang ada pada hari ini dibawah BPR. BPR siasat polis dan polis siasat BPR akhirnya simpan dalam buku rekod, masuk menjadi sejarah dalam fail siasatan, kerana keputusan akhir ada pada AG.
9. Didalam tugas Ketua Pesuruhjaya disebut bahawa mereka hendaklah mempunyai segala kuasa pegawai suruhanjaya dan hendaklah mempunyai apa-apa kuasa timbalan Pendakwa Raya sebagaimana yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya , tetapi bila sampai kepada pendakwaan mestilah dimulakan oleh atau dengan keizinan Pendakwa Raya. Apa makna kuasa pendakwa raya yang diberikan kepada ketua pesuruhjaya tadi. Ini yang dikatakan harimau robot tanpa gigi.
10. RUU ini juga menyamakan anggota suruhanjaya ini sama saperti Polis dan penjara didalam sesetengah klausa didalam tugas menahan , dan pejabat suruhanjaya sama saperti balai polis. Apakah selepas ini akan ada pusat tahanan didalam pejabat suruhanjaya ini saperti dipejabat polis yang lain. Bagaimana pula dengan latihan yang mereka terima apakah sama saperti pegawai polis dan pegawai penjara ?. Dan apakah nanti akan berlaku saperti pertindihan kuasa diantara tugas pegawai polis, pegawai penjara dan anggota suruhanjaya pula.
11. Didalam klausa yang menyatakan tugas pegawai bawahan anggota Suruhanjaya , mereka hendaklah menerima arahan dan petunjuk dari pegawai atasan secara lisan atau tulisan. Apakah ini bukan merupakan satu perangkap kepada pegawai bawahan kerana kalau hanya arahan lisan yang perlu dipatuhi, maka apa akan berlaku jika berlaku penafian setelah sesuatu yang nampak akan mengenai atau membabitkan pegawai atasan tersebut, maka tidakkah pegawai penyiasat tadi akan menjadi kambing hitam. Naya kawan.
12. Tidakkah lebih baik jika dikatakan arahan lisan yang mesti dituruti dengan arahan bertulis atau arahan lisan dan bertulis. Kes Menteri memberi arahan bertulis dengan tulisan pensil kepada KSU suatu Kementerian suatu masa dulu masih kekal dalam ingatan kita dimana akhirnya KSU yang masuk jel, tetapi menteri masih bebas mengumpulkan harta, inikan pula arahan hanya dalam bentuk lisan sahaja.
13. Tetapi kalau dilihat kepada kuasa menyiasat terhadap aduan pula, walaupun ianya dalam bentuk lisan tetapi ia mesti diubah kedalam bentuk tulisan dan dibaca kepada pengadu dan ditandatangani oleh pengadu serta dimasukkan kedalam buku rekod siasatan untuk simpanan dan rujukan.
TYDP.
14. Kesalahan rasuah berbeza daripada kesalahan jenayah lain, dimana dalam pertuduhan jenayah, pendakwa mesti membuktikan bahawa OKT yang melakukan kesalahan dengan bahan bukti yang ada, tetapi dalam kes rasuah, OKT mesti membuktikan bahawa harta dan barangan dan lain-lain yang ada pada beliau itu bebas dari unsur-unsur rasuah. Maka tidak hairanlah jika suatu ketika dulu bila bekas ketua polis Negara menyatakan bahawa 40 % pegawai atasan polis boleh disabitkan dengan rasuah hanya kerana gaya hidup mewah mereka. Rasuah adalah merupakan sumber yag haram yang bila digunakan untuk memelihara, membeli makanan yang halal, maka akan menjadi makanan yang haram hadis nabi ada menyebut ' kullu lahmin nabata minal haram, fannaru aula bih' , setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram , maka api neraka lebih aula baginya.


15. Didalam proses menerima aduan, apakah pihak anggota suruhanjaya akan menjalankan siasatan hanya apabila menerima aduan atau hanya dengan mensyaki sesuatu perlakuan mewah yang tak sepadan dengan tugas beliau, atau menerima aduan daripada surat layang dan ‘hearsay’ atau gaya hidup seseorang pegawai tersebut hanya berdasarkan kepada maklumat yang diterima oleh pegawai suruhanjaya untuk melakukan penyiasatan.
16. Saya bersetuju jika pembawa fitnah dihukum dengan hukuman yang berat, kerana fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh’ alfitnatu ashaddu minal qatlu’, fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh.
17. Harapan agar kerahsiaan nama pemberi maklumat perlu dijaga walaupun oleh sesiapa dan tidak perlu didedahkan hatta oleh pendakwa raya dan pegawai suruhanjaya melainkan hanya untuk tujuan siasatan dan dalam mahkamah, tidak saperti yang ada didalam pasal 29(4). RUU Perlindungan saksi yang dibentang pagi ini diharap dapat membuka ruang untuk lebih ramai memberi maklumat berhubung kes rasuah ini.

TYDP
18. Pegawai suruhanjaya juga dikatakan sentiasa dalam keadaan bertugas, apakah maknanya mereka ini sentiasa dalam keadaan ‘on call’ atau ‘standby call’ macam Doktor didalam hospital, dan bagaimana dengan elaun mereka, ataukah berdasarkan masa tersebut atau hanya apabila tugas itu berlaku dan telah terjadi.? Ataukah mereka ini mendapat elaun lebih masa ’ overtime allowance’.
19. Kredit kepada RUU ini kerana dengan jelas menyatakan bahawa menjadi kesalahan kepada pemberi dan penerima rasuah. Sesuai dengan hadis rasulullah ‘ ar rashi wal murtashi fin nar’. Orang yang memberi dan menerima rasuah didalam Neraka. Sepatutnya rasuah ini boleh disebut najis yang lebih buruk dan hina daripada dadah, kalau dadah manjadi buruan , maka rasuah juga sepatutnya menjadi buruan selepas ini. Bagi orang Islam, pesanan nabi ‘ setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api Negara lebih aula bagi mereka.’
20. Walaupun begitu, suatu penelitian harus diberikan kepada mereka yang dianggap menerima dan memberi rasuah yang tidak mempunyai kaitan dengan hal ehwal perniagaan atau principal, bahkan mereka yang tidak ada kuasa , atau tidak ada niat , bahkan tidak sebenarnya berbuat sesuatu dan tidakpun ada hubungan dengan hal ehwal yang melibatkan rasuah tersebut. Kita merasa hairan didalam klausa ini dikata ejen kepada seseorang, tetapi didalam subklausa dikatakan tidak mempunyai kuasa, ini sesuatu yang agak janggal dan kontradik, atau mungkin saya tak jelas, harap menteri tolong beri penjelasan. Bagaimana ia boleh menjadi ejen kalau ia tidak ada kuasa bahkan kuasa mempengaruhi, misalnya pemandu kepada menteri, walaupun ia tidak berkuasa dari segi tugas,, ia masih berkuasa dari segi mempengaruhi, oleh itu istilah tidak mempunyai kuasa disini harus diperhalusi lagi.
21. Bila menyebut pasal tolong disini, saya rasa orang politiklah yang akan terdedah dan paling ramai dalam kesalahan ini kerana mereka akan sentiasa didatangi untuk mendapat pertolongan diatas sesuatu tindakan atau tidak dilakukan apa-apa tindakan , kalau tak tolong tak dapat undi nanti !!, kalau tolong kena dakwa nanti !!.
22. Penterjemahan dokumen atau data oleh orang yang tidak terlibat sebagai disiasat akan mendapat upah menterjemah, apakah orang yang disiasat yang membuat penterjemahan juga boleh mendapat upah menterjemah, kerana tiada arahan menyatakan dia mesti menterjemah.
23. Harta yang disita didalam sesuatu penyiasatan yang tak mudah rosak dan tak perlu dijual didapati susut nilai , apakah ganti rugi akan dibayar seandainya habis siasatan maka didapati tidak disabitkan kesalahan kepada orang yang disiasat supaya penginayaan tidak berlaku kepada mereka yang disiasat tetapi tidak bersalah dalam keadaan harta bahan bukti sudah susut nilai .
24. Akhir sekali harapan agar dengan ujudnya RUU ini, masalah najis rasuah dan persepsi rasuah dalam Negara kita dapat dibendung dan seterusnya dihapukan secara total.

No comments:

Lawat Parlimen

Lawat Parlimen
ADUN Kedah diketuai Speaker dan Timbalan telah datang mengunjungi Parlimen baru-baru ni untuk menyaksikan hari ini dalam sejarah bekas mangsa kezaliman ISA dua kali YB Sdr Yusof Husin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. Kami hanya sempat berbicara seketika waktu rehat dan selepas itu mereka mempunyai agenda lain untuk dibereskan. Diharap dimasa akan datang kita akan dapat melakukan yang lebih baik lagi apabila kehadiran direncanakan dengan teliti melalui Setiausaha Sekretariat parlimen PAS Sdr Wan Johari Wan Omar.