GENTING HIGHLANDS, 28 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberikan penghormatan kepada pengasas Genting Berhad Tan Sri Lim Goh Tong, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada Selasa, sebagai seorang yang berpegang pada janji dan terhormat.
Beliau berkata Goh Tong adalah seorang yang amat istimewa yang berani melakukan perkara yang dianggap mustahil dan berjaya mencapainya.
"Mendiang merupakan contoh unggul bagi seseorang yang datang ke sini tanpa apa-apa tetapi menerusi azam yang kuat dan prinsip dan nilai yang teguh, beliau mampu mencipta kejayaan besar dan menjadi satu warisan.
"Bukan sahaja membangunkan perusahaan yang akhirnya menjadi konglomerat terkemuka antarabangsa, tetapi mendiang telah mewajudkan satu warisan di sini di Genting (Highlands)," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada hartawan itu di kediamannya di Gohtong Villa.
Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada balu Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, dan anak mendiang Tan Sri Lim Kok Thay.
Najib diiringi adiknya Datuk Mohamed Nazim.
Goh Tong, 90, yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 23 Okt meninggalkan enam orang anak dan 19 cucu. Mayat mendiang akan disemadikan esok.
"Banyak perkara yang kita boleh kagumi dan belajar (daripada beliau). Saya berharap generasi muda akan membuat kajian mengenai mendiang Tan Sri, khususnya ciri-ciri Tan Sri dan kualiti yang ada pada dirinya yang dapat diteladani oleh orang lain," kata Najib.
Timbalan Perdana Menteri berkata Goh Tong amat rapat dengan allahyarham datuknya Datuk Hussein Mohammad Taib yang banyak menghabiskan masa bersama.
Najib berkata semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang pada 1980-an, beliau juga selalu berhubungan dengan Goh Tong dan hubungan Goh Tong dengan keluarganya sudah lama terjalin dan berterusan sehingga sekarang dan juga di masa depan.
Wednesday, January 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment