Diri ku ini

My photo
Pendang, Kedah, Malaysia
Berkhidmat untuk semua kerana Allah, Kedah sejahtera, nikmat untuk semua. PAS for All. Malaysia kaya, kenapa rakyat miskin. email: pendang@parlimen.gov.my

Sunday, October 19, 2008

Radiasi bahaya berada dimana-mana. Apakah tindakan kementerian!!!

Sejauhmana kesan sinar latar kepada kesihatan rakyat, MP PAS Pendang minta kementerian buat pemantauan.

Sesi Soalan Jawab Lisan pada 16 Oktober 2008.

Pulut srikaya lemang buluh,
soalan saya nombor sepuluh.

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang] minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan, apakah persiapan Malaysia di dalam menghadapi pencemaran radiasi nuklear di pelabuhan dan lapangan terbang untuk melindungi rakyat dari bahaya tersebut.



Dr Mohd Hayati bin Othman, MP PAS Pendang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi [Tuan Haji Fadillah bin Yusof]:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Hendak jawab pantun atau hendak jawab soalan saya tidak pasti. Tuan Yang di-Pertua, persiapan Malaysia di dalam menghadapi pencemaran radiasi nuklear di pelabuhan dan lapangan terbang untuk melindungi rakyat daripada bahaya tersebut meliputi tiga aspek.

Pertama ialah dalam aspek pencegahan, kedua pengesanan dan ketiga tindak balas. Dalam aspek pencegahan MOSTI melalui Lembaga Pelesenan Tenaga Atom atau LPTA telah membangunkan mekanisme kawalan dan kawal seliaan import, eksport, transit dan transshipment bahan radioaktif ataupun bahan nuklear di Malaysia melalui kaedah perlesenan dan pengeluaran kebenaran ataupun permit.

Keduanya dari aspek pengesanan. Pertama MOSTI melalui LPTA akan melakukan pengawasan dan pengesanan melalui pengambilan sampel air, udara dan paras sinaran luar di lokasi pelabuhan ataupun lapangan terbang sebelum, semasa dan selepas insiden di lokasi.

Kedua, MOSTI melalui LPTA telah membangunkan pusat kendalian kecemasan di ibu pejabat Lembaga Pelesenan Tenaga Atom di Dengkil Selangor. Tujuannya untuk mengesan sebarang kemungkinan sebarang kejadian pencemaran radiological dan nuklear sama ada dalam udara atau melalui sempadan secara online.

Sistem pengesanan bahan radioaktif dan nuklear kebangsaan yang dibangunkan terdiri daripada pemantauan alam sekitar ataupun Environmental Radiation Monitoring System atau ERMS dan pengesanan penyeludupan di sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang.

Yang ketiga jika LPTA mengesan sebarang pencemaran radiasi maka satu penilaian tahap pencemaran akan dilakukan seandainya melepasi had yang dibenarkan maka LPTA akan memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara ataupun MKN bagi tindakan selanjutnya seperti mana di bawah kehendak Arahan 20 MKN.

Tuan Yang di-Pertua, dari aspek tindak balas ataupun respons, MOSTI melalui LPTA telah membuat persiapan seperti berikut. Pertama mengadakan latih tubi ataupun drill, pencemaran radiological di peringkat dalaman dengan syarikat pemegang lesen dan di peringkat kebangsaan melibatkan lead agency di bawah Majlis Keselamatan Negara selaras dengan Arahan 20 melibatkan bomba, tentera, Polis Diraja Malaysia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pencemaran radiasi atau pencemaran yang melibatkan bahan radioaktif ataupun nuklear.

Kedua, MOSTI melalui LPTA juga telah menjalin kerjasama di peringkat serantau dan di peringkat antarabangsa dalam menangani kecemasan dan kemalangan radiasi dengan pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa. Kerjasama ini selaras dengan perjanjian yang telah ditangani oleh Malaysia dengan pihak IAEA seperti Convention on Early Notification of a Nuclear Accident ataupun CENNA yang ditandatangani pada 1 September 1987 dan Convention on Assistance in Case of a Nuclear Accident or Radiological Emergency yang ditandatangani pada 1 September 1987. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih timbalan menteri yang telah memberi jawapan yang cukup panjang lebar berhubung dengan apa tindakan.

Sebenarnya kalau kita berbincang tentang radiasi dan juga kesan, salah satu daripada kesannya ialah penyakit kanser yang sering dihidapi oleh rakyat kita mutakhir ini. Masalah radiasi bukan sahaja berlaku di pelabuhan, di lapangan terbang tetapi juga berlaku di kawasan-kawasan yang lain.

Di antara persoalan saya ialah adakah kementerian sering melakukan monitoring ataupun pemonitoran di atas sinar latar ataupun background radiation seperti dari sinar beta, gama dan juga gas radon yang berpunca daripada pasir lombong, batu-bata dan aktiviti proses amang yang dibuat perusahaan di dalam negara kita kerana ini juga yang menyebabkan proses penyebaran radiasi yang boleh menyebabkan masalah kepada kesihatan masyarakat yang mungkin tidak diketahui oleh rakyat seperti mana di pelabuhan dan juga di lapangan terbang, pohon jawapan daripada kementerian.

Tuan Haji Fadillah bin Yusof: Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman kita semua, setakat ini kita membuat kajian ataupun pemantauan secara berskala dan sebenarnya agensi kita sudah membuat based-line study, maknanya based-line data sudah ada.

Untuk makluman kita semua dari segi radiasi kita ada dua punca. Pertama yang semula jadi yang ada di udara kita, di laut dan juga di dalam tanah. Jadi apa Yang Berhormat tanya tadi ialah akibat aktiviti-aktiviti mungkin perlombongan misalnya, adakah radiasi berlaku dan ini sebenarnya based-line data ini ialah guideline yang kita sediakan untuk mengetahui apakah kedudukan radiasi yang berada dalam alam sekitar kita.

Apakah radiasi based yang ada dalam air, dalam laut dan juga dalam tanah kita dan ini sudah ada, data ini sudah ada. Apabila berlakunya pencemaran, berlakunya aduan maka kita akan membuat kajian untuk mengkaji daripada based-line ini adakah perubahan based-line data ini tadi menunjukkan ada peningkatan pencemaran dan setakat ini ianya alhamdulillah tidak berlaku di negara kita.

Yang ada secara skala dan secara rambang yang kita lakukan daripada mesin-mesin yang kita ada, maklumat yang kita ada di seluruh negara setakat ini kita mempunyai data yang selamat dan tiada berlaku radiasi yang membahayakan kesihatan masyarakat kita. Terima kasih.

No comments:

Lawat Parlimen

Lawat Parlimen
ADUN Kedah diketuai Speaker dan Timbalan telah datang mengunjungi Parlimen baru-baru ni untuk menyaksikan hari ini dalam sejarah bekas mangsa kezaliman ISA dua kali YB Sdr Yusof Husin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. Kami hanya sempat berbicara seketika waktu rehat dan selepas itu mereka mempunyai agenda lain untuk dibereskan. Diharap dimasa akan datang kita akan dapat melakukan yang lebih baik lagi apabila kehadiran direncanakan dengan teliti melalui Setiausaha Sekretariat parlimen PAS Sdr Wan Johari Wan Omar.