Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang
Berhormat Pendang.
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]
2130
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua
kerana memberikan saya kesempatan untuk sama-sama bahas dalam Akta Persaingan ini.
Pertama sekali, ia merupakan satu yang ditunggu-tunggu terutamanya oleh pengguna dan juga oleh persatuan pengguna. Jadi kita mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri.
Ini kerana kita tahu pada masa ini ada beberapa komoditi di mana telah wujud amalan
monopoli ini seperti umpamanya beras, gandum, gula dan sebagainya. Industri yang bersifat monopoli ini sering kali menaikkan harga barangan mereka sekiranya barangan terbabit bukannya berada dalam senarai barangan kawalan lebih-lebih lagi apabila berlakunya musim-musim perayaan. Ini sudah pasti akan menimbulkan kegelisahan kepada pengguna khususnya yang berpendapatan rendah.
Oleh itu apabila Akta Persaingan ini diwujudkan, amalan monopoli ini diharap dapat
dibanteras. Selain itu pengguna juga dapat menggunakan kuasa mereka untuk membuat pilihan terutamanya dalam industri perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan yang lebih baik. Saya juga ingin bertanya adakah kerajaan selepas ini akan juga meminda Akta Kawalan Harga Barang 1946?
Ini bagi memasukkan peruntukan mengenai anti mengaut keuntungan berlebihan ataupun
disebut anti pencatutan. Peruntukan undang-undang ini juga sudah lama diminta oleh persatuan pengguna dan juga pengguna agar ia dilakukan pindaan.
Ini kerana pengguna sering berhadapan dengan kenaikan harga barangan apabila
kerajaan mengumumkan kenaikan harga barang seperti contohnya bahan api, komoditi
keperluan asas dan sebagainya. Begitu juga apabila berlaku kenaikan tarif seperti elektrik, air dan seumpamanya. Setiap kali harga atau tarif ini dinaikkan, wujud reaksi jaringan bagi barangan lain yang menggunakan bahan yang dinaikkan harga ataupun tarif. Maksudnya kalau gula naik,habislah teh tarik kah atau perkara-perkara yang menggunakan gula akan turut naik beriringan dengan harga barangan komoditi tersebut.
Maknanya peruntukan undang-undang yang ada pada masa ini adalah bergantung juga
pada Akta Harga Kawalan iaitu peniaga perlu meletakkan tanda harga pada barang jualan
mereka. Sekiranya tanda harga diletakkan, terserah kepada pengguna untuk membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan berkenaan ataupun tidak. Akan tetapi apabila peraturan anti pencatutan ini dilaksanakan, jika berlaku kenaikan harga sewenang-wenangnya maka kerajaan boleh mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas perkara tersebut.
Sebenarnya ada beberapa isu yang timbul hasil daripada pembentangan akta ini.
Pertama, kita pergi kepada seksyen 7 misalnya yang membuat pembatalan melalui proses gazet. Saya ingin tahu adakah ini cara efisien ataupun belum kerana ia belum dapat dipastikan. Namun mungkin ia boleh dipertimbangkan oleh kerajaan untuk memberikan kuasa kepada Menteri atas rekomendasi daripada suruhanjaya untuk membuat pembatalan. Saya ingin menyokong apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Kota Melaka tadi, sepatutnya akta suruhanjaya itu disebut terlebih dahulu daripada akta ini tetapi mungkin ia mempunyai alasan yang mungkin diberitahu oleh Menteri selepas ini.
Di bawah seksyen 10 berkenaan dengan salah guna kuasa dominan. Mungkin ia
memberikan kesan kepada firma besar, contohnya Microsoft, TNB dan Telekom. Masing-masing dari syarikat ini berfungsi atas sifat monopoli ke atas perisian komputer misalnya Microsoft, atau membekalkan elektrik bagi TNB dan juga talian telefon yang lain bagi TM. Dalam seksyen 15 juga saya ingin tahu apakah aduan hanya boleh dibuat oleh seseorang dan tidak termasuk entiti lain seperti syarikat atau agensi kerajaan atau pertubuhan atau lain-lain seperti NGO yang ada
hubung kait dengan kepenggunaan.
Dalam seksyen 19 juga, adakah ia memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk
memegang dokumen untuk selama tempoh yang difikirkan perlu, mungkin kah ini akan
menyusahkan peniaga jika dibuat tanpa had masa yang tertentu. Seksyen 29(2) menyatakan
notis bertulis mengenai penyertaan tidak perlu diberikan jika suspek hadir. Mungkin berlaku salah guna kuasa di sini dan di sarankan supaya notis bertulis diberikan tanpa mengira suspek sama ada ia hadir ataupun tidak.
Seksyen 31 Tuan Yang di-Pertua, mengatakan tiada ganti rugi yang boleh diperoleh atas
sitaan. Maknanya kalau berlaku sesuatu - premis itu disita. Hal in bercanggah dengan Perkara 13(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tiada orang yang boleh dilucutkan harganya tanpa pampasan yang mencukupi. Seterusnya seksyen 41 - rejim kelonggaran.
Peruntukan seperti ini belum ada dalam akta lain tetapi kenapakah peruntukan seperti ini berada dalam Akta Persaingan ini. Biasanya dalam akta lain, dimasukkan peruntukan berkaitan kuasa untuk mengeluarkan kompaun sahaja.
Dalam seksyen 44, adakah tribunal rayuan persaingan ini hanya satu sahaja yang akan
dibentuk? Apakah rasional dibuat tribunal rayuan persaingan? Adakah ia model seperti mana dalam Mahkamah Persekutuan? Seksyen 45 yang disebut oleh Menteri tadi, saya juga ingin bertanya. Apakah keperluan melantik seorang hakim mahkamah tinggi menjadi presiden?
Memadailah dimasukkan peruntukan bahawa presiden itu hendaklah mempunyai kelayakan
sebagai seorang Hakim Mahkamah Tinggi.
Ini kerana dalam seksyen 47, Perdana Menteri boleh membatalkan pelantikan
sedangkan presidennya adalah seorang hakim. Seorang hakim hanya boleh dibuang ataupun
dilucutkan melalui satu tribunal dan ini akan menyebabkan satu embarrassment kepada presiden tersebut. Seterusnya keputusan tribunal kemudiannya akan boleh diulang kaji oleh sebuah Mahkamah Tinggi.
Oleh itu saya harap isu-isu yang saya timbulkan ini dalam perbahasan ini dapat
mendapat jawapan daripada Yang Berhormat Menteri dalam sesi jawapan nanti.
Sekian Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih.
Wednesday, April 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment