Pada 15/05/2008, saya telah terbaca berita mengenai kehilangan sejumlah wang yang dikatakan Royalti Petroleum Terengganu dari beberapa akhbar utama tempatan seperti Sinar Harian dan Berita Harian.
Akhbar Sinar Harian melaporkan kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang mengatakan beliau tidak tahu mengenai jumlah sebenar wang yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri ketika itu sehinggalah Senator Datuk Amirsham Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendedahkannya pada Persidangan Dewan Rakyat yang lalu iaitu sebanyak RM 7.3 billion.Datuk Seri Idris Jusoh juga mengatakan, wang yang diterima Terengganu ketika itu hanyalah berjumlah RM 1.3 billion sahaja setahun.
Sementara itu, Berita Harian pula melaporkan Datuk Ahmad Said mengatakan Terengganu hanya menerima RM 4.3 billion sahaja dari jumlah RM 7.3 billion yang disebutkan menteri terbabit. Datuk Ahmad juga jelas mengatakan tidak tahu ke mana RM 3 billion baki tersebut dibelanjakan.
Melihat kepada dua laporan akhbar terbabit yang mempersoalkan ke mana perginya baki wang Royalti tersebut, saya percaya telah berlaku suatu penyelewengan dalam pengurusannya dan ianya mempunyai unsur-unsur jenayah yang perlu disiasat.
Sebagai rakyat Terengganu, saya mempunyai hak dan tanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak polis tentang kehilangan RM 3 billion tersebut yang merupakan kehilangan wang secara misteri yang tidak sepatutnya berlaku di dalam pentadbiran sesebuah kerajaan yang amanah.
Sekira perkara di atas tidak disiasat dan diambil tindakan, saya bimbang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan akan berterusan berlaku dan ini akan mengakibatkan negara akan terus kerugian dan tidak dipercayai oleh para pelabur dalam menguruskan kewangan. Ini kerana pengurusan kewangan seharusnya diaudit dan dilaporkan bagi memperlihat ketelusan dalam menguruskannya.
Saya berharap pihak Polis dapat menyiasat perkara tersebut dengan teliti dan segera supaya dalang yang menyelewengkan wang rakyat negeri Terengganu ini dapat dikenalpasti dan dibawa kemuka pengadilan.
Wednesday, May 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment