Diri ku ini

My photo
Pendang, Kedah, Malaysia
Berkhidmat untuk semua kerana Allah, Kedah sejahtera, nikmat untuk semua. PAS for All. Malaysia kaya, kenapa rakyat miskin. email: pendang@parlimen.gov.my

Wednesday, May 28, 2008

27.5.08 Usul pulau 'putih mata 'pun ditolak.

USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH P.M 18(1)
KEPUTUSAN MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA (ICJ)
BERKENAAN PULAU BATU PUTEH
11.30 pg.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Bismillahir Rahmanir Rahim. Tuan Yang
di-Pertua, saya Salahuddin bin Ayub dari Kubang Kerian akan mengusulkan supaya mesyuarat
ini ditangguhkan bagi membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan
ramai dan perlu disegerakan, mengenai isu kekalahan Malaysia di Mahkamah Keadilan
Antarabangsa ICJ yang telah memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh atau sekarang dikenali
sebagai ‘Pulau Putih Mata’ adalah hak milik Singapura.
Tuan Yang di-Pertua, isu Pulau Batu Puteh yang telah berbangkit semenjak 28 tahun
lalu telah berakhir dengan begitu tragis dan memilukan pada 23 Mei 2008, ekoran keputusan
Mahkamah Keadilan Antarabangsa ICJ yang telah memberikan hak kedaulatan ke atas pulau
tersebut kepada Singapura. Perkara ini adalah amat penting untuk diberikan perhatian oleh
Kerajaan Malaysia hari ini, kerana kekalahan ini telah menghilangkan kedaulatan negara kita
ke atas pulau tersebut, walaupun pada awalnya ia diserahkan kepada Kerajaan Singapura
melalui British dengan kebenaran Yang Amat Mulia Sultan Johor. Sejarah telah menunjukkan
dengan jelas bahawa pulau ini asalnya adalah milik kita.
Saya berdiri dalam Dewan yang mulia ini tidak bermaksud mencabar keputusan
Mahkamah ICJ, tetapi kes ini sepatutnya menjadi pengajaran yang amat besar kepada
Malaysia dalam beberapa aspek termasuk dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa
dijaga dengan penuh waspada. Kita masih mempunyai banyak isu tertunggak dengan
Singapura yang melibatkan kedaulatan negara. Pada awal pemerintahan, kita telah menyerah
kalah dalam isu Jambatan Bengkok, kini beberapa isu lagi termasuk isu air, ICQ, KTM dan isu
Pulau Api di Pulau Pisang, pencerobohan udara, pembelian pasir hinggalah masalah wang
simpanan pekerja rakyat kita di Singapura. Pada hari ini rakyat sudah bercakap soal
kedaulatan Iskandar Malaysia ekoran dasar kita yang terlalu longgar dengan Singapura. Kita
harus mengkaji apakah punca sebenar kekalahan kita dalam kes ini.
Adakah ia berpunya daripada kelemahan hujah atau bukti yang kita kemukakan, atau
kerana kelemahan persediaan kita dalam menghadapi perbicaraan ini. Kita bersetuju supaya
kes ini dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, kerana kita yang menuntut daripada
DR.27.5.2008 28
Singapura. Akan tetapi kita tidak bersedia secukupnya sehingga sesuatu nampak jelas milik
kita begitu mudah terlepas ke tangan Singapura.
Rakyat Malaysia amat meragui pasukan yang diketuai oleh Peguam Negara, yang
kalah dalam kes reman tanpa bail di Mahkamah Majistret dan Seksyen berhujah di ICJ. Satu
implikasi yang harus disedari semua pihak ialah pada masa ini keluasan perairan Singapura
telah bertambah dengan banyak sehingga memungkinkan mereka turut menuntut hak ke atas
Pulau Spratly, kerana Pulau Batu Puteh berada di Laut China Selatan. Singapura juga
mempunyai hak untuk menambak laut di kawasan Teluk Ramunia yang mungkin boleh
menjejaskan Pelabuhan Tanjung Pelepas, di samping hak-hak nelayan kita di sekitar Teluk
Ramunia yang akan sama terjejas ekoran penyempitan kawasan perairan kita.
Tuan Yang di-Pertua, menyedari masalah yang timbul ini saya bertanggungjawab dan
merasakan Parlimen ini perlu ditangguhkan, kerana isu ini melibatkan kedaulatan negara, jika
kita mengambil mudah keputusan ICJ ini, mengambil remeh tentang sebab-sebab kekalahan
kita. Ia tidak mustahil pada masa yang akan datang kedaulatan negara kita bakal terlepas lagi
selepas daripada ini. Sekian, saya mencadangkan.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian. Ahli-ahli Yang
Berhormat saya telah menerima satu Pemberitahu Usul di bawah Peraturan Mahkamah 18(1)
daripada Ahli Yang Berhormat kawasan Kubang Kerian pada hari Isnin, 26 Mei 2008. Teks
Usul itu adalah seperti yang dibacakan oleh Ahli Yang Berhormat itu sebentar tadi.
Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat hari ini, saya
sebagai Tuan Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh
Ahli Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat iaitu:
(i) bahawa perkara itu tertentu;
(ii) bagi kepentingan orang ramai; dan
(iii) ia berkehendak disegerakan.
Saya telah meneliti perkara ini dan saya mendapati bahawa dalam soal perkara
tertentu, perkara ini adalah perkara yang tertentu, dalam soal kepentingan orang ramai, ia
adalah bagi kepentingan orang ramai, dan bagi ianya berkehendakkan untuk disegerakan,
perkara ini tidak perlu disegerakan. Isu ini menyentuh penghakiman ICJ yang muktamad dan
Malaysia telah bersetuju untuk mematuhi keputusan tersebut. Oleh yang demikian, saya
menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2). Terima kasih.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, peraturan
mesyuarat.
Tuan Yang di-Pertua: Sila.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Saya mahu menekankan sekali lagi
kerana isu ini ialah isu negara Tuan Yang di-Pertua, dan bertanggungjawab sebagai Ahli
Parlimen Malaysia ini saya mengambil tanggungjawab dengan penuh kesedaran sekali lagi
menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(3)(b) iaitu berbunyi, “jika Majlis Mesyuarat tidak
memberi izin, tetapi sekurang-kurangnya lima belas orang berdiri di tempatnya menyokong
pembentangan itu.” Saya mohon rakan-rakan yang bersetuju atas nama negara berdiri bagi
kita merayu Tuan Yang di-Pertua luluskan usul ini.
DR.27.5.2008 29
Beberapa Ahli: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: 18(3)(b), cuba Yang Berhormat baca kepada saya 18(3)(b).
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Ini kepentingan negara bukan rakyat.
[Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, point of order yang dibangkitkan
oleh Yang Berhormat Kubang Kerian itu cuma ianya berbangkit apabila saya berpuas hati.
Saya sebut tadi bahawa saya tidak berpuas hati. Jadi, apabila saya tidak berpuas hati, maka
Peraturan Mesyuarat 18(3) itu tidak berbangkit, oleh kerana saya belum puas hati. Jadi ia tidak
berkehendakkan supaya disegerakan dan keputusan saya ialah sama, bahawa saya menolak
usul ini di bawah 18(2). Terima kasih.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Kita hendak mempertahankan yang lain.
Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Tuan Yang di-Pertua, macam mana hendak
puaskan hati Tuan Yang di-Pertua? [Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua: Saya tahu Yang Berhormat tetapi itu keputusan saya. Jadi
saya kata ia tidak berbangkit, saya tidak berpuas hati. Ada kalanya saya berpuas hati
umpamanya dalam isu harga beras, saya berpuas hati perlu untuk dibahas. Dalam soal ini
keputusan telah diambil oleh ICJ. Kalaupun kita bahas keputusan sudah muktamad. Jadi lain
hari ada lagi peluang kita untuk bahas soal-soal sebegini, terima kasih Yang Berhormat
Kubang Kerian. Sila teruskan.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua peraturan
mesyuarat. Saya menghormati keputusan Tuan Yang di-Pertua sebagai Speaker, tetapi saya
sebagai Ahli Parlimen, saya tidak akan duduk untuk memperjuangkan isu ini dan saya bersedia
menerima apa juga risiko, kerana pada saya ini adalah masalah keselamatan negara,
kedaulatan negara.
Saya memohon untuk dibahaskan bukan untuk kita mengubah keputusan ICJ, tetapi
untuk kita membincangkan kelemahan-kelemahan kenapa pasukan kita gagal. Atas nama
Parlimen Malaysia mesti menulis sejarah pada hari ini. Ini isu keselamatan dan kedaulatan
negara, ini bukan isu PAS, bukan isu Pakatan Rakyat.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, terima kasih. Saya...
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Ini isu negara Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kubang Kerian.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Saya merayu dan saya menghormati Tuan
Yang di-Pertua. Saya merayu supaya izinkan kita menggunakan segenap apa yang ada dalam
peraturan mesyuarat ini. Saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(3)(b).
■1140
Saya merayu atas nama negara. Saya merayu atas nama rakyat. Saya merayu di atas
nama kedaulatan negara. Saya merayu dalam Dewan yang mulia ini supaya isu ini dibahaskan
dan biar sejarah menulis pada pagi ini, negara dan Parlimen ini amat sedih, amat terharu
kerana kita hilang satu pulau yang merupakan maruah kita bersama... [Tepuk] Saya merayu
Tuan Yang di-Pertua. Saya merayu atas nama rakyat, atas nama negara kita.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: [Bangun]
DR.27.5.2008 30
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Saya merayu dan tidak ada, saya rasa
tidak ada masalah kita mengalah dalam isu ini. Tuan Yang di-Pertua juga rakyat Malaysia.
Saya rakyat Malaysia. Ini Parlimen Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kubang Kerian.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Saya mahu supaya perkara ini...
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kinabatangan duduk dulu. Yang Berhormat
Kubang Kerian boleh duduk.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: ...Diizinkan untuk dibahaskan.
Tuan Yang di-Pertua: Ya. Yang Berhormat Kubang Kerian duduk dulu Yang
Berhormat Kubang Kerian. Sebelum saya mengambil keputusan dan pohon untuk menolak
Usul ini, saya juga sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab turut bersedih. Perasaan
Yang Berhormat adalah perasaan kita semua, tetapi dalam hal ini kenyataan dan hakikat yang
sebenar, keputusan telah dibuat dan saya setuju dengan Yang Berhormat bahawa kita perlu
ambil iktibar daripada apa yang terjadi. Itu saja yang kita boleh buat pada ketika ini. Kalau
Yang Berhormat juga berkeras dalam soal ini, sehingga Yang Berhormat kata, Yang Berhormat
berdiri, sehingga saya membuat keputusan, ada lagi peraturan tetap Yang Berhormat boleh
gunakan iaitu 43. Di mana buat lagi satu Usul untuk saya menimbang semula di bawah 43.
Namun, buat ketika ini, walaupun saya membuat keputusan bahawa saya katakan
saya menolak di bawah 18(3) dan saya sarankan kepada Yang Berhormat dalam perbahasan
Supplementary Budget, ini juga boleh dibangkitkan. Jadi peluang untuk berbahas dengan soal
ini, Ahli Yang Berhormat boleh bangkitkan di lain masa untuk iktibar kita semua. Jadi kalau
umpamanya kegagalan itu adalah kesilapan kita semua, kita ambil iktibar daripada itu. Saya
Yang Berhormat, benar-benar turut bersedih kerana itu adalah hak milik kita dan kekalahan itu
mungkin atas alasan teknikal sahaja.
Jadi di masa-masa akan datang, kita harus simpan rekod dengan cara baik. Kita buat
negara ini dengan negara yang berdaulat seperti yang disarankan oleh Yang Berhormat. Jadi
saya mohon maaf oleh kerana saya tidak dapat layan permohonan Yang Berhormat walaupun
Yang Berhormat berperasaan seperti perasaan saya juga. Terima kasih. Sila setiausaha.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat
43. Saya telah membaca dengan teliti dengan Peraturan 43 ini Tuan Yang di-Pertua. Sekiranya
Tuan Yang di-Pertua mengizinkan satu Usul untuk dikemukakan, maka dari segi
kesegeraannya ia akan hilang. Dia akan hilang kesegeraannya.
Maka saya tetap dengan pendirian saya Tuan Yang di-Pertua, dengan penuh hormat
kepada Tuan Yang di-Pertua, saya merayu sekali lagi di atas budi bicara Tuan Yang di-Pertua
supaya kesegeraan di atas Usul ini mesti diambil perkiraan oleh kita semua. Oleh itu saya tetap
meminta supaya Tuan Yang di-Pertua mengizinkan dan apa salahnya, sekiranya Mesyuarat
ditangguhkan sehingga jam 4.30 petang untuk kita sama-sama berbahas, mendengar jawapan
daripada menteri yang berkenaan. Apakah sebab sebenarnya? Kenapa kita kalah dan kita
boleh merakamkan Parlimen yang mulia ini boleh merakamkan dalam Hansard ini apa sebab
kita kalah dan menteri yang bertanggung jawab boleh menjawab pada petang ini. Saya merayu
lagi sekali Tuan Yang di-Pertua.
DR.27.5.2008 31
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kubang Kerian, seperti yang saya sebut tadi.
Sebelum pun saya menolak Usul ini saya timbang dengan baik apabila mengambil kira semua
perasaan rakyat di negara ini tetapi saya buat keputusan bahawa saya menolak atas dasar
ketidaksegeraan. Jadi selepas ini, Timbalan Yang di-Pertua akan mengambil alih dan mungkin
Yang Berhormat akan turut berbahas dengan perbahasan Supplementary Budget. Jadi
bolehlah Yang Berhormat mengeluarkan apa sahaja hujah mengenai soal ini dan diharapkan
dimasukkan juga dalam Hansard.
Jadi tidak ada bezanya Yang Berhormat. Oleh sebab, kalau pun usul ini saya benarkan
awal-awal, apabila dibahaskan tidak juga kita mengambil keputusan sama ada apa yang kita
buat ataupun tidak, kerana itu bukan sensitive motion. Jadi Yang Berhormat, saya mintalah
supaya Yang Berhormat dalam soal ini pada ketika ini, kita cuma ambil iktibar mengenai soal
apa yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat itu. Terima kasih.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Yang di-Pertua: Bolehlah Yang Berhormat, nanti...
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Saya rasa itu bukan isunya. Kita ada
banyak lagi pulau-pulau dan isu-isu yang kita berhadapan dengan Singapura dan...
Tuan Yang di-Pertua: Tidak cukupkah satu perkataan...
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: ...apabila...
Tuan Yang di-Pertua: Tidak cukupkah Yang Berhormat satu perkataan, “Iktibar”.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Pada saya iktibar itu ialah mulai daripada saat ini, kita semua
perlu ambil iktibar. Kalau pun nanti kita berbahas, menteri menjawab, keputusannya juga ialah
kita akan ambil iktibar daripada kejadian ini. Kita semua faham. Dalam Dewan ini, kita semua
rasa bersedih. Siapa yang rasa tidak sedih? Satu Wilayah yang kita punya, tempat yang kita
punya, hilang begitu sahaja oleh kerana mungkin atas kecuaian kita.
Jadi saya tidaklah membuat spekulasi bahawa kelemahan itu, kelemahan pegawai,
kelemahan oleh kerana dokumen tidak ada, sedemikiannya, kerana saya rasa semua yang
hadir termasuk menteri, peguam kita yang hadir di situ sewaktu perbicaraan, mereka telah
membuat perkara yang to at most, best. Tidak ada Yang Berhormat orang yang mahu kalah.
Tidak ada.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, kami tidak boleh...
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Saya tidak buat..
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Saya mahu dengar dulu Yang Berhormat Sri Gading. Duduk
dulu Yang Berhormat Kubang Kerian. Sila.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tidak ada rakyat di negara ini tidak
sedih Tuan Yang di-Pertua. Saya sudah bawa perkara ini pada tahun 1988 lagi Tuan Yang di-
Pertua. Masa saya berucap mewakili Johor dalam Perhimpunan UMNO. Betapa sayangnya
kita kepada apa yang telah pun terlepas ini tadi. Yang telah terlepas beberapa hari yang lalu.
DR.27.5.2008 32
Kita sama dengan Yang Berhormat Kubang Kerian dan semua macam Tuan Yang di-
Pertua kata tadi, tapi oleh sebab Tuan Yang di-Pertua telah menolak usul ini, maka haruslah
kita di Dewan ini tanpa mengganggu sedikit pun soal kecintaan kita kepada negara. Apa yang
diterangkan kepada Dewan ini, kita kena patuh apa yang telah disarankan oleh Tuan Yang di-
Pertua dan kalau agaknya ada lain-lain, bawa saja dalam Peraturan Mesyuarat 43, kita
bahaskan di masa yang akan datang. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Sri Gading. Saya harap Yang
Berhormat Kubang Kerian dalam soal begini, kadang-kadang kita semua berperasaan.
Kadang-kadang emosi kita meningkat. Kadang-kadang perlu kita fikir berbuat sesuatu tetapi
dalam keadaan seperti ini kita harus mempunyai kematangan untuk memikirkan apa positif dan
negatifnya tindakan kita. Mungkin daripada kejadian ini, timbul perkara-perkara yang positif
untuk kita di masa akan datang.
Bagi saya, satu perkataan itu, kita harus ambil iktibar. Adalah cukup untuk kita semua
pegang kepada itu, tidak payah kita bahas sampai satu jam. Saya iktibar apabila saya terbaca,
kita tengok secara siaran langsung keputusan mahkamah, saya iktibar. Saya beritahu kepada
diri saya, bahawa perkara seperti ini tidak harus berlaku.
Jadi kalau kita mempunyai azam seperti begitu, kita pegang kepada itu. Tidak ada
guna untuk kita bercerita sejam, dua jam tapi tidak ada juga keazaman kita untuk memegang
sesuatu. Jadi saya cukup bersimpati, saya faham perasaan Yang Berhormat Kubang Kerian,
kita juga semua berperasaan begitu. Jadi kalau kita ikut perasaan itu, mungkin suatu ketika
nanti kita fikir bahawa, ya, kita ikut perasaan dan bukan kebaikan. Jadi saya minta mohon
maaf, fasal saya tidak dapat layan. Sila setiausaha, teruskan.

No comments:

Lawat Parlimen

Lawat Parlimen
ADUN Kedah diketuai Speaker dan Timbalan telah datang mengunjungi Parlimen baru-baru ni untuk menyaksikan hari ini dalam sejarah bekas mangsa kezaliman ISA dua kali YB Sdr Yusof Husin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. Kami hanya sempat berbicara seketika waktu rehat dan selepas itu mereka mempunyai agenda lain untuk dibereskan. Diharap dimasa akan datang kita akan dapat melakukan yang lebih baik lagi apabila kehadiran direncanakan dengan teliti melalui Setiausaha Sekretariat parlimen PAS Sdr Wan Johari Wan Omar.