Ana petik disini tulisan ibnukhuzaimah dari laman Tranung Kite ,didalam menghadapi kemelut yang melanda kami sebagai wakil rakyat dalam negara demokrasi ala Malaysia ini, derma diminta, sumbangan dipohon, peruntukan tak diberi, tapi bila hendak masuk kedalam sekolah, tak dibenarkan, alasan arahan dari atas. Minta surat, tak ada pula. Walaupun negeri itu diperintah oleh PR. Pohon kalau sesiapa ada surat tolonglah email kepada ana untuk kita telanjangkan arahan orang atas itu didalam Parlimen.
"GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG".
Begitulah Tema Hari Guru pada tahun ini. Malaysia ini sememangnya negara yang penuh tema. Berlori-lori tema setiap tahun tetapi entah berapa yang berisi dan dihayati. Begitu juga Hari Belia, Tema yang sama, "Belia Cemerlang Negara Terbilang". Mungkin esok ada perayaan ulangtahun Islam Hadhari, "Hadhari Cemerlang Negara Terbilang"Perayaan hari guru tahun ini tidak langsung memberi makna yang mendalam melainkan satu ritual tahunan dengan sambutan dan slogan muluk dan syarahan-syarahan mual sehala dari pihak atasan yang bersuara atas kehendak pemerintah melalui menterinya yang lemah memimpin kementerian itu, Hishamuddin Tun Hussein.Melaka dipilih sebagai tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan pada tahun ini. Maka berbondonglah pegawai-pegawai pendidikan peringkat daerah dan negeri kesana untuk merealisasikan satu sambutan yang sudah tidak bermakna itu. Perbelanjaannya pastilah menggunakan wang rakyat.Mengapa sambutan ini tidak bermakna lagi? Apakah ertinya sambutan ini jika guru-guru diperlakukan sebagai pepatung yang dipaksa anguk-anguk ditarik talinya oleh Tok Dalang yang mabuk dengan kuasa memaksa?Kita sebuah negara yang demokrasi tetapi pada masa yang sama ejen pengembangan demokrasi, ejen yang mendidik idea demokrasi terhadap anak sekolah dikekang dari sistem demokrasi itu sendiri. Pelik tetapi benar. Maka apa yang boleh diharapkan? Akhirnya lahirlah satu jenerasi yang memahami demokrasi secara bobrok dan goblok. Peranan guru sebagai ejen perubahan sudah lama berkubur.Diberitakan, surat arahan menghalang sekolah tadbiran Kerajaan Persekutuan menjemput pemimpin Pakatan Rakyat sudah dikeluarkan. Beberapa guru yang ditemui tidak mengiakan tetapi tidak juga menafikannya. Soalnya adakah menjemput seorang Ahli Parlimen merasmikan program sekolah dikategorikan sebagai jemputan politik? Jika begitu, Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen, jangan sekali-kali datang ke sekolah atau merasmikan program pendidikan di sekolah atau mana-mana pusat pendidikan!Adalah amat mendukacitakan bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor tidak dijemput untuk menghadiri Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor. Tindakan ini jika benar, merupakan satu tindakan yang mundur ke belakang oleh pihak berkuasa pendidikan negara ini. Apakah takrif Guru Cemerlang? Guru Cemerlang adalah guru yang mendidik anak bangsa akan kecintaan kepada ilmu, menghasilkan masyarakat yang berakhlak, cinta negara, agama dan keluarga. Membina masyarakat yang cintakan kebenaran dan ketelusan serta berani menyuarakan kebenaran dan menolak kemungkaran.Amat memilukan guru-guru hari ini ibarat operator mesin yang memastikan kelahiran produk berteraskan jumlah A1 dalam peperiksaan SPM yang semakin rendah kualitinya. Di zaman pendidikan negara ini dipimpin oleh sistem pendidikan yang termaktub dalam Penyata Razak, Penyata Rahman Talib dan lain-lain penyata yang sudah menjadi sejarah, untuk melihat pelajar SPM/MCE mendapat 8A1 sukar sekali, melainkan ia cukup hebat dan cukup bijak.Nampaknya dari segi persepsi pemerintah sekarang, cemerlang itu adalah ikut cakap dan arahan berniat politik pemerintah Barisan Nasional. Jika begitu lebih baiklah tema tahun ini diubah kepada, Guru Kencing Berdiri, Anak Murid Kencing Berlari (dengan kemaafan).Kepada sahabat dan masyarakat guru, anda tetap mulia dan dimuliakan. Selamat Menyambut Hari Guru."
Friday, May 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment